Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan potongan gaji 10 peratus selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 Pahang yang diwujudkan kerajaan negeri.

Menurutnya, potongan gaji 10 peratus turut melibatkan ahli exco Pahang bermula April hingga Jun 2020.

"Sukacita saya maklumkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang yang saya pengerusikan, telah bersetuju agar potongan 10 peratus daripada gaji ahli-ahli MMK dilakukan selama tiga bulan bermula April hingga Jun 2020.

"Dengan potongan ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Covid-19 Pahang yang telah kerajaan negeri wujudkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini 10,000 penjawat awam negeri Pahang menyatakan kesediaan gaji dipotong untuk disumbangkan ke Tabung Covid-19 Pahang.

Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Sallehuddin Ishak berkata, mereka ini terdiri penjawat awam lantikan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun negeri Pahang.

Menurutnya, melalui usaha dan pengorbanan penjawat awam yang prihatin itu, dianggarkan RM100,000 sebulan dapat dikumpulkan untuk disumbangkan ke tabung tersebut.

Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata keputusan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus diambil atas rasa tanggungjawab dan tanda simpati ahli exco negeri sekalian terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

"Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung Covid-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada tabung ini, Insya-Allah," katanya.

Pada 23 Mac, Wan Rosdy mengumumkan pelancaran Tabung Covid-19 Pahang dan mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian menggunakan akaun Perbendaharaan Negeri Pahang di Bank Muamalat bernombor 06010002165711 atau menggunakan aplikasi digital PahangGo.