Sebuah masjid di Bukit Damansara, Kuala Lumpur menasihatkan jemaahnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan jika mempunyai kontak dengan lima individu di kawasan kejiranan mereka yang disahkan positif Covid-19.

Menerusi satu surat kepada jemaah, ketua jawatankuasa Masjid Saidina Umar Al-Khattab berkata lima individu berkenaan- dua pasangan suami isteri dan seorang lelaki- pulang dari luar negara pada 11 Mac lalu.

“Oleh itu, untuk mengelakkan wabak virus itu di kalangan kita, kami menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan anggota jemaah yang mempunyai hubungan dengan mereka yang disebutkan di atas agar segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan ketahui status kesihatan masing-masing,” kata ketua jawatankuasa masjid berkenaan dalam satu surat yang dilihat Malaysiakini.

Surat itu juga menyenaraikan tiga alamat rumah individu berkenaan yang berada di sepanjang dua jalan di Bukit Damansara - tidak berapa jauh dari rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Di bawah perintah kawalan pergerakan, semua masjid ditutup daripada menjalani sebarang aktiviti termasuk sembahyang Jumaat.

Perintah itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bermula 18 hingga 31 Mac, namun telah dilanjutkan hingga 14 April.