Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Benarkan kilang bungkusan makanan beroperasi ketika PKP

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk membenarkan kilang pengeluar kotak dan plastik terus beroperasi, walau tiada dalam senarai perkhidmatan penting.

Mukhriz berkata, kilang tersebut perlu dianggap perkhidmatan penting kerana kilang yang mengeluarkan makanan seperti roti tidak dapat membungkusnya tanpa kotak atau plastik.

"Makanan ada pembungkusan sendiri. Misalnya plastik diguna untuk pembungkusan roti. Macam mana nak bekal roti kalau tiada plastik?

"Jadi kita minta kementerian agar tidak sekat (operasi) kilang yang buat bungkusan makanan...Kita anggap ia sebagai (perkhidmatan) penting walau ia kilang plastik," katanya dalam sidang media di Alor Setar, hari ini.

Mukhriz juga memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka cara terbaik untuk mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan, dan dalam pada masa sama tidak menjadikan mereka kontak rapat.

"Apa yang penting makanan ruji seperti beras, ikan, ayam, daging, sayur dan buah, bekalan makanan ruji ini mesti berterusan.

"Kita hendak melancarkan bekalan ini dan pada masa sama tidak melanggar perintah kawalan pergerakan. Kaedah yang terbaik sedang dirangka agar bekalan sampai.

"Kita tidak mahu keadaan di mana bekalan sayur ada tetapi sudah busuk kerana tidak sampai kepada pengguna," katanya lagi.

Hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan dilanjutkan kepada 14 April.

Lihat Komen
ADS