Hampir 4,000 terkorban dalam gempa bumi di Yogyakarta
Gempa bumi yang menggegarkan Yogyakarta dan Jawa Tengah telah mengorbankan hampir 4,000 orang dan ramai lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan rumah mereka.
Gempa bumi yang menggegarkan Yogyakarta dan Jawa Tengah telah mengorbankan hampir 4,000 orang dan ramai lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan rumah mereka.
Angka tersebut berdasarkan kepada catatan di pusat-pusat bencana selepas berlaku gempa bumi sekuat 5.9 pada skala richter. Angka kematian di pusat-pusat bencana di Yogyakarta pula mencatatkan lebih 3,000 orang terbunuh, manakala di Klaten, Jawa Tengah sahaja, lebih 700 orang terkorban.
Daerah Bantul Yogyakarta merupakan kawasan yang paling teruk digegarkan oleh gempa bumi itu yang mengakibatkan lebih 2,900 penduduknya terkorban sehingga tengah malam tadi.
Seorang jurucakap daerah Bantul yang dipetik stesen televisyen tempatan hari ini, berkata masih ramai lagi yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan rumah masing-masing.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih tertimbus diteruskan hari ini, manakala ribuan mangsa yang cedera menerima rawatan manakala penyaluran bantuan kepada mereka yang terselamat dan kini tinggal di kemah-kemah sementara, dilaporkan berjalan lancar.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang tiba di Yogyakarta semalam bersama isterinya Ibu Ani Yudhoyono dan beberapa menteri kabinet, memberitahu wartawan, mereka akan berpejabat sementara di Yogyakarta untuk beberapa hari bagi mengawasi dan menyelaraskan sendiri bantuan kepada mangsa.
Perlu bantuan makanan, ubatan
Sementara itu, media massa tempatan Indonesia sudah mulai membuka tabung bantuan bencana untuk membolehkan orang ramai di seluruh Indonesia menyalurkan bantuan masing-masing bagi membantu keperluan mangsa-mangsa gempa bumi di Yogyakarta dan Jawa Tengah.
Hospital-hospital yang merawat ribuan pesakit memerlukan segera karung-karung mayat, ubat-ubatan, makanan siap saji dan minuman serta pakaian basahan untuk mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.
Pusat-pusat pemindahan pula memerlukan khemah dan bekalan air dan makanan.
Beberapa pelajar Malaysia yang dapat dihubungi melalui SMS memberitahu Bernama, awal-awal pagi lagi ramai penduduk mula membersihkan rumah masing-masing daripada timbunan serpihan bangunan yang runtuhan.
Sementara itu, stesen televisyen tempatan menyiarkan visual yang menunjukkan orang ramai sudah mulai keluar ke kota Yogyakarta untuk membeli keperluan harian walaupun belum banyak pekedai yang memulakan perniagaan berikutan sebahagian besar bangunan kedai dan pejabat rosak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.