Top Glove Corporation Berhad menyumbang 70,000 sarung tangan kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam memerangi pandemik Covid-19.

Hospital Besar Pulau Pinang menerima 50,000 sarung tangan manakala selebihnya diberikan kepada polis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut akhbar kerajaan negeri, Buletin Mutiara, sumbangan sarung tangan itu diserahkan oleh pengurus pengeluaran Top Glove, Chan Siao Yun kepada Teh Lai Heng yang merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sumbangan itu mewakili solidariti sektor swasta untuk memerangi pandemik Covid-19, kata Teh yang juga Adun Komtar.

"Kami mengalu-alukan inisiatif yang diambil demi keharmonian dan keamanan negara," tambahnya.

Upacara itu juga menyaksikan 300 set pakaian pelindung diri (PPE) diberikan kepada Hospital Besar Pulau Pinang.