Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan pemberian Insentif kepada pengeluar dan pengedar yang menggunakan teknologi Internet dan e-dompet tempatan.

Menurut kedua-dua badan itu, perkara itu antara langkah tambahan yang boleh diambil kira dalam rangsangan komprehensif kerajaan bagi membantu usahawan yang terjejas susulan penularan Covid-19.

“Oleh kerana pergerakan orang dan barangan adalah lebih terbatas semenjak permasalahan Covid-19 ini, perniagaan berasaskan Internet adalah amat penting untuk di promosi,” kata Presiden DPMM Abd Halim Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Mereka mencadangkan pihak yang memerlukan penambahbaikan dan peningkatan teknologi di tempat kerja diberikan insentif seperti double deduction atau geran geran peningkatan teknologi.

Ini, terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan berasaskan Internet dan pengeluaran barang barang makanan dan keperluan asas yang diedar dan dipasarkan melalui Internet.

“Di waktu pengeluar-pengeluar daripada China menghadapi kesukaran untuk menghantar barang ke dunia luar dalam masa enam bulan yang akan datang adalah waktu yang tepat untuk pengeluar-pengeluar daripada Malaysia untuk memenuhi kehendak pasaran yang punyai vakum sekarang,” kata mereka.