Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan menggunakan peluang yang ada untuk memecahkan monopoli industri pemakanan dan pertanian seperti benih, beras import dan baja.

Kedua-dua badan itu mencadangkan perkara itu sebagai langkah tambahan yang boleh diambil kira dalam ransangan komprehensif kerajaan bagi membantu usahawan yang terjejas susulan peneybaran wabak Covid-19.

“Ini akan menguatkan agenda kedaulatan makanan dan keselamatan yang sebenar yang sering dipandang mudah sebelum ini.

“Perubahan struktural akan meningkatkan produktiviti pertanian untuk menyokong pengeluaran dalaman dan bilangan import yang menguntungkan negara.

“Malah kalau ada syarikat yang perlu dimiliknegarakan inilah masanya demi kebaikan rakyat,” kata Presiden DPMM Abd Halim Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata kerajaan mesti memastikan bekalan beras import - 30 peratus dari keperluan tempatan - mesti sentiasa ada pada setiap masa.

Katanya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada syarikat swasta untuk menguruskannya.

Katanya sejarah tahun 2008 telah membuktikan kegagalan membawa masuk beras melalui saluran perniagaan kepada perniagaan sehingga kerajaan terpaksa masuk campur dengan saluran kerajaan kepada kerajaan.

“Hal ini telah pun berlaku dalam kes kekurangan topeng muka medikal,” kata mereka.