Akhirnya Naib Presiden MIC Datuk G Palanivel mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden menentang penyandangnya Datuk S Subramaniam dalam pemilihan parti itu 24 Jun depan.

Palanivel membuat pengumuman tersebut, sembilan bulan selepas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyatakan sokongan terbukannya kepada naib presiden MIC itu bertanding jawatan timbalan presiden.

Samy Vellu mengumumkan akhir tahun lalu yang beliau memilih Palanivel, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebagai orang nombor dua parti.

Berikutan itu, Palanivel (foto) akan mencabar penyandangnya jawatan itu, Datuk S. Subramaniam, yang memegang jawatan terbabit sejak 1989, ia dianggap cabaran paling hebat bagi timbalan presiden itu selama 26 tahun menjadi orang nombor dua parti.

Menurut laporan Bernama, pada 1994, beliau mempertahankan jawatannya dengan menewaskan bekas Naib Presiden MIC, Datuk S S Subramaniam.

Subramaniam (foto) digugurkan sebagai calon Parlimen Segamat dalam pilihanraya umum 2004. Palanivel mula membabitkan diri dalam MIC pada 1972, apabila menjadi setiausaha bahagian Petaling. Dalam pilihanraya umum 1990, beliau memenangi Parlimen Hulu Selangor.

Bekas wartawan Bernama berusia 57 tahun itu menjadi setiausaha akhbar Samy Vellu dari 1987 hingga 1990, dilantik menjadi bendahari MIC pada 1991 dan menjadi naib presiden pada1994.

'Masa untuk perubahan'

Pada pemilihan MIC 2000, beliau memperoleh jumlah undi kedua tertinggi bagi jawatan presiden di belakang Datuk S Veerasingham. Dalam pemilihan parti 2003, Palanivel, yang lebih dikenali sebagai GP di kalangan ahli parti, menang tanpa bertanding.

Dalam sidang akhbar di ibupejabat parti MIC hari ini, beliau diapit sembilan pengerusi MIC negeri dan lebih 20 ahli jawatankuasa kerja pusat parti itu. Turut hadir ialah penyandang jawatan Naib Presiden, Datuk S. Veerasingham dan Tan Sri K.S. Nijhar, kedua-duanya juga dalam senarai calon pilihan untuk jawatan timbalan presiden.

Setakat ini, kata Palanivel, lebih 100 daripada 143 bahagian MIC menyokong beliau.

"Jawatan timbalan presiden tidak ditandingi buat masa yang lama. Saya harap pertandingan ini dilihat menerusi sudut yang positif. Saya mahu memberi pewakilan peluang untuk memilih timbalan presiden.

"Kini orang yang sudah begitu lama tidak berjalan...sudah berbuat demikian. Kini orang yang tidak mengetuk pintu...sudah berbuat demikian... ini baik. Bila anda sudah berada pada satu kedudukan untuk masa yang panjang tanpa bertanding, anda ambil mudah dan saya tidak anggap jawatan timbalan presiden sesuatu yang boleh dianggap mudah," kata Palanivel.

"Sekarang masa untuk perubahan dalam parti dan saya harap ia berlaku pada 2006. Saya bersedia menerima keputusan anda (perwakilan) dan saya yakin kemenangan di pihak saya," katanya.