Bekalan darah cukup, tapi orang ramai masih boleh derma
Kementerian Kesihatan menafikan laporan bahawa bank darah di hospital kerajaan sedang menghadapi kekurangan bekalan darah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, tidak ada permintaan tinggi untuk bekalan darah pada masa ini.
"Setakat ini, kita tidak mempunyai kekurangan (bekalan), kerana pembedahan dibatalkan dan kurang kemalangan kenderaan bermotor," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Noor Hisham diminta memberikan respons mengenai laporan akhbar berbahasa Cina hari ini, yang mendakwa Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang sedang menghadapi kekurangan bekalan darah.
Menurut laporan berita itu, pengumpulan darah di HTAR didakwa menurun sebanyak 70 peratus disebabkan banyak kempen derma darah dibatalkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. (PKP).
Laporan itu memetik seorang doktor sebagai berkata hospital memerlukan 150 hingga 200 paket darah setiap hari, tetapi kini hanya dapat mengutip 50 hingga 80 paket sehari.
Noor Hisham berkata, walaupun permintaan darah rendah, semua pusat pengumpulan darah masih dibuka untuk menerima derma darah daripada orang ramai.
Dua hari lepas, Noor Hisham juga memberikan respons berkenaan soalan berkenaan semasa sidang akhbar di Putrajaya, dan mengatakan bahawa mereka masih meneruskan kempen derma darah.
Beliau berkata terdapat kekurangan bekalan di bank darah, tetapi ia bukan satu isu kritikal kerana hospital tidak menggunakan banyak bekalan darah semasa menangani wabak Covid-19.
"Tetapi kita masih melihat bagaimana kita boleh meneruskan kempen derma darah.
"Mungkin kita akan memulakan perkhidmatan pengumpulan darah dari pintu ke pintu, di mana penderma boleh menghubungi hotline kami, dan mengatur temujanji untuk pegawai bank darah pergi ke tempat mereka," katanya pada Selasa lalu.
Noor Hisham berkata mereka yang ingin menderma darah juga boleh pergi ke hospital yang terdekat semasa perintah kawalan pergerakan.

