Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: MKN keluar garis panduan lebih tegas Sabtu ini - Menteri
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 3:23 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan garis panduan yang tegas bagi memastikan kepatuhan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP), pada Sabtu ini.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk peraturan yang lebih tegas berkenaan orang ramai yang keluar membeli barang keperluan.

"Mungkin selepas ini banyak sekatan akan dikenakan, sama ada berkenaan pembelian, membeli makanan dan sebagainya.

"saya belum boleh umumkan lagi, MKN akan keluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas untuk pastikan langkah kita ini berjaya sekat penularan Covid-19," katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail yang juga menteri kanan berkata, terpulang kepada orang ramai untuk memastikan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak lagi dilanjutkan, dan mereka boleh berbuat demikian dengan berada di rumah.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP, yang pada mulanya berkuat kuasa sehingga 31 Mac, dilanjutkan kepada 14 April.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak lima peratus warga tidak patuh kepada perintah itu.

"Di pasar dan pasar raya, ada yang patuh dari segi penjarakkan sosial tetapi ramai yang tidak.

"Keadaan mungkin tenang di bandar, tetapi masih banyak kenderaan (di jalan raya), ramai orang masih keluar," katanya lagi.

Semalam, polis menahan 110 orang yang tidak patuh kepada perintah itu dan memeriksa sejumlah 163,487 kenderaan.

Setakat ini, kes Covid-19 di Malaysia telah mencapai 1,796 kes dengan 21 kematian.

Sementara itu, Ismail berkata dalam usaha memastikan langkah melawan Covid-19 lebih teratur, para menteri persekutuan akan menyertai mesyuarat majlis keselamatan semua negeri dengan kadar segera.

Katanya, mesyuarat peringkat negeri itu akan dihadiri wakil persekutuan daripada negeri itu.

Lihat Komen
ADS