BERITA

YFBM agih makanan pada penduduk PPR, pelajar di kampus

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 1:04 tengahari

Tidak melupakan nasib golongan kurang bernasib baik, Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengagihkan makanan buat mereka yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid, agihan itu diberikan buat golongan kesempitan seperti penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR), gelandangan, dan pelajar yang terpaksa tinggal di kampus sepanjang PKP dilaksanakan.

“Jadi diharap masyarakat tak perlu bimbang, ada anak pelajar di universiti, gelandangan dan juga (penduduk) PPR. Jangan risau stok barangan (makanan) mencukupi. [...]

“Yang penting, kita tak mahu rakyat kita terkesan (atau) kebuluran, tak dapat makanan.

“Dengan adanya (usaha) Food Bank ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan isu ini,” katanya hari ini selepas meninjau pemuatan makanan untuk diagihkan di pusat pengumpulan dan pengedaran makanan, Foodbank Malaysia di Bukit Angkat dekat Kajang.

Turut hadir, ketua pegawai eksekutif YFBM Ab Wahab Long.

Kata Rosol lagi, agihan makanan itu dibuat di 123 kawasan, dengan keutamaan diberikan untuk mereka di Lembah Klang, sebelum diluaskan di pinggir-pinggir bandar.

Rosol yang juga anggota parlimen Hulu Terengganu itu turut memberi jaminan simpanan makanan di YFBM mencukupi untuk sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Stok kita ada (cukup untuk) tiga bulan, ada yang enam bulan. Jadi pihak pengurusan Food Bank akan mengatur, barang-barang yang akan (lebih cepat tarikh) luput akan dikeluarkan dahulu,” katanya lagi.

Menurut kenyataan YFBM, agihan makanan itu didedar buat 1,000 penerima setiap hari, disasarkan buat isi rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), warga emas dan golongan yang terputus sumber pendapatan sepanjang PKP dikuat kuasa.

Selain itu, agihan makanan turut dibuat kepada 38,186 pelajar yang masih tinggal di kampus sepanjang PKP, merangkumi 54 institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan institut perguruan yang mempunyai fasiliti penyimpanan makanan dan dikenal pasti di bawah Program Food Bank Siswa.

Antara bekalan yang disumbangkan termasuklah makanan ruji seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, dan makanan sampingan seperti roti, biskut, mee segera, air berperisa dan makanan ringan bersesuaian- disumbangkan oleh lebih 100 penderma.

Selain itu, Rosol turut menggesa agar lebih banyak pihak tampil menyumbangkan makanan untuk membela nasib mereka yang kurang bernasib baik.

YFBM adalah badan kebajikan yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah seliaan KPDNHEP.

Ia bertindak sebagai pengurus Program Food Bank Malaysia yang dilancarkan kerajaan PH pada 22 Disember 2018, bertujuan mengurangkan kos sara hidup pengguna, terutamanya golongan B40, dan mengurangkan penghasilan sisa pepejal di kalangan rakyat.

Ketika dihubungi, Ab Wahab berkata bekalan makanan diperoleh daripada sumbangan orang ramai dan syarikat pengeluar makanan - selalunya melibatkan bekalan makanan dengan tempoh beberapa bulan sebelum tarikh luput.

“Penyumbang-penyumbang peribadi yang bagi duit sumbangan untuk kita beli makanan pada harga borong.

“Ada yang kita dapat sumbangan daripada syarikat pembekal pembuatan makanan. Mereka ada lebiha dan pada masa sama nak jalankan tanggungjawab sosial korporat," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.