Zulkifli ajak umat Islam solat hajat serentak esok
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, menggesa orang ramai melakukan solat hajat serentak selepas Zuhur di rumah atau tempat masing-masing esok.
Katanya, langkah itu selaras dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kepada beliau hari ini.
"Maka, saya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk menyahut titah Agong dengan melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari Jumaat (esok), 27 Mac bersamaan 3 Syaaban selepas solat Zuhur di rumah dan tempat masing-masing dan memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepada-Nya.
"Kepada Allah SWT jua kita berserah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Esok adalah kali kedua solat Jumaat tidak dilaksanakan di seluruh negara ekoran penularan wabak Covid-19 yang setakat ini mengorbankan 21 orang.
Menurut Zulkifli, pada hari ini Agong menitahkan agar beliau memberikan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia yang menghadapi situasi Covid-19.
"Berdasarkan taakulan saya - dengan ilham daripada-Nya - tarikh dan waktu yang sesuai bagi cadangan pelaksanaan solat hajat serentak di seluruh negara adalah pada hari Jumaat," katanya.

