Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Perkhidmatan logistik diberi 3 hari alih barang di pelabuhan
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan pengecualian khas tiga hari dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada perkhidmatan logistik, untuk memindahkan barangan dan memastikan bekalan mencukupi.

Wee berkata, pengecualian khas itu melibatkan pelabuhan berkaitan dan perkhidmatan logistik, bermula 27 Mac (esok) hingga 29 Mac.

"Bagi membolehkan transit dan penghantaran semua barangan, termasuk barangan keperluan dan barangan bukan keperluan dalam tempoh PKP, polis akan membenarkan kenderaan pengangkut barangan ini bergerak di jalan raya antara hari Jumaat, 27 Mac dan hari Ahad, 29 Mac 2020.

"Pelabuhan-pelabuhan yang berkaitan diberi pengecualian khas untuk memindahkan barangan yang bukan keperluan asas untuk dialihkan ke gudang (sementara) di luar pelabuhan agar memberi ruang supaya pemindahan barangan keperluan dapat dibuat (sepanjang tiga hari itu)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa ini, katanya lagi, kapasiti ruang di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang telah menghampiri 100 peratus ekoran pemberhentian pemindahan barang ke gudang simpanan.

"Jika tidak ditangani segera, gudang-gudang ini akan penuh dan mencecah kapasiti maksima dalam minggu ini. Perkara ini perlu diselesaikan segera agar tidak timbul kesesakan sepanjang tempoh PKP apabila barangan keperluan asas yang diimport mulai masuk," katanya lagi.

Wee berkata lagi, kenderaan yang digunakan untuk memindahkan barangan tersebut hendaklah mematuhi syarat yang dinyatakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

Malaysiakini melaporkan banyak kontena tersadai di Pelabuhan Klang dan tidak dapat dihantar ekoran penguatkuasaan PKP yang mengehadkan penghantaran barang-barang tidak penting.

Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) memberi amaran keadaan itu ibarat bom jangka yang memberi kesan kepada kapasiti dan kecekapan pelabuhan.

Lihat Komen
ADS