Hak Iran untuk membangunkan program teknologi nuklear untuk tujuan aman perlu diiktiraf dan sebarang isu mengenainya perlu diselesaikan menerusi diplomasi dan diberi setiap peluang yang ada untuk berjaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

"Malaysia menyokong penuh pendirian itu dan dalam perkara itu, kita perlu mengiktiraf hak Iran untuk membangunkan teknologi seumpama itu bagi tujuan aman," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM-CoB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari Isnin.

Abdullah yang juga pengerusi perkumpulan 114 anggota itu berkata, NAM telah dan akan terus mempertahankan hak asasi dan hak negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) untuk membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan aman.

"Mereka patut dibenarkan berbuat demikian tanpa sebarang diskriminasi dan bersesuaian dengan perjanjian perlindungan seperti disyaratkan oleh NPT," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata sepatutnya tidak wujud sebarang pilih kasih atau berat sebelah dan sepatutnya juga hanya terdapat satu peraturan bagi semua.

"Membenarkan Israel membangunkan senjata nuklear secara bebas tanpa hukuman yang tidak dinafikannya manakala negara lain di rantau itu dilarang daripada berbuat demikian, merupakan satu kes berat sebelah yang nyata.

"Ia telah mewujudkan ketidakstabilan dalam negara yang bergolak di dunia itu," katanya.

Pelucutan senjata nuklear

Abdullah berkata NAM perlu terus mendesak bagi pendekatan seimbang antara pelucutan senjata nuklear dan pengawalan senjata nuklear.

"Negara-negara nuklear perlu menghormati komitmen mereka terhadap pelucutan senjata nuklear dan matlamat bagi penghapusan senjata nuklear," katanya.

Abdullah berkata pergerakan itu perlu memulakan usaha antarabangsa ke arah pengurangan secara sistematik dan akhirnya penghapusan senjata pemusnah besar-besaran.

"Ini amat penting pada saat ini apabila agenda pelucutan senjata telah diketepikan secara efektif, tanpa sebarang kemajuan sama ada pada persidangan semakan NPT baru-baru ini atau pada persidangan mengenai pelucutan senjata yang tidak ada sebarang perkembangan selama sedekad."

Beliau berkata NAM mesti membantah pengenalan doktrin ketenteraan yang baru dan berbahaya, termasuk penggunaan senjata nuklear taktikal, yang mungkin akan digunakan oleh pihak tertentu.

"Kita perlu membantah keras sebarang cubaan atau ancaman bagi penggunaan senjata berkenaan. Ia akan menggagalkan usaha pelucutan senjata, dengan segala risiko terhadap keselamatan antarabangsa," katanya.