Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mungkin akan mengadakan lawatan kedua ke Kem Tahanan Kamunting bagi menyiasat kebenaran dakwaan terdapat tahanan kem itu telah ditempatkan di bilik tahanan sementara terlalu lama.

"Kita (Suhakam) mungkin adakan lawatan kedua (ke kem Kamunting) untuk menyiasat dan melihat apa yang berlaku, dan berharap dapat penjelasan mengenai aduan yang telah diterima," kata pesuruhjayaya Prof Datuk Hamdan Adnan kepada malaysiakini , hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aduan Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar mengenai dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem itu yang masih berada di bilik tahanan sementara sejak dihantar ke kem itu dua bulan lalu.

Menurut Mahfuz, tempoh dua tahanan berada di bilik itu adalah terlalu lama dan sepatutnya tahanan perlu ditempatkan di bilik yang luas seperti tahanan lain di kem itu. Ini kerana katanya, bilik tahanan sementara itu bersaiz kecil dan "amat menyiksa tahanan".

Mahfuz berkata penempatan terlalu lama dua tahanan itu juga seoalah-olah wujud "double-standard" terhadap tahanan yang ada, kerana menurutnya sebelum ini enam pemimpin dan aktivis Parti Keadilan yang dihantar ke kem itu Jun lalu, tidak melalui tahanan di bilik tahanan sementara itu.

Enam tahanan itu ialah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Dr Badrul Amin Bahron, aktivis refomasi Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

Sementara itu menurut Hamdan, Suhakam akan menyiasat sama ada penempatan tahanan itu dilakukan mengikut tatacara (prosedur) dan peraturan yang sedia ada atau sebaliknya.

"Jika didapati ia dibuat mengikut peraturan maka perkara itu wajar berlaku," katanya.

Suhakam dijangka akan mengemukakan laporan mengenai kem tahanan Kamunting bulan depan.

Permohonan tahanan

Laporan itu antara lain akan mencadangkan pertemuan antara tahanan kem dengan keluarga mereka tidak dihalang oleh jaring pemisah, memperbaiki menu makanan tahanan dan perjumpaan antara tahanan dengan peguam dilakukan tanpa kehadiran pegawai penjara.

Sebelum itu, Hamdan menerima pengaduan penangkapan di bawah ISA oleh keluarga enam tahanan yang didakwa terbabit dengan kegiatan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

Enam yang ditahan 10 Oktober lalu dibawah seksyen 73(1) akta itu ialah Naib Ketua Pemuda PAS Ipoh Mat Salleh Said dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Lumut Muhammad Zulkifli Mohamad Zakaria (Perak), ahli jawatankuasa parti Khairuddin Saad, Muhamad Zulkepli Md Isa serta Zulkefli Ahmad (Kedah) dan Hazami Ishak (Kelantan).

Hadir semasa pengaduan yang diketuai oleh Mahfuz itu adalah isteri kepada enam yang ditahan, ahli keluarga lain dan lebih kurang 30 penyokong PAS.

"Kami menuntut supaya tahanan dibebaskan atau didakwa mengikut peruntukan undang-undang jenayah yang ada dalam negara," kertas pengaduan keluarga tahanan dipetik.

Manakala, isteri penahan Muhammad Zulkifli, Surayah Salin memberitahu Suhakam beliau masih tidak diberitahu secara rasmi atau menerima sebarang dakwaan bertulis daripada pihak berkuasa mengenai penahanan suaminya.

Ogos lalu, sepuluh orang lain telah ditahan atas dakwaan terbabit dalam kumpulan yang sama. Empat daripada mereka dibebaskan manakala enam dihantar ke kem Kamunting termasuk anak Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Adli.