Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia catat 26 kematian akibat Covid-19, 130 kes baru
Diterbitkan:  Mar 27, 2020 5:16 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Setakat tengah hari tadi, jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 26 korban, dan terdapat 130 kes baru yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,161.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 54 pesakit kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Korban ke-25 akibat Covid-19 melibatkan pesakit kes ke-2,032 yang merupakan seorang lelaki berusia 83 tahun dengan sejarah penyakit kronik.

Dia dirawat di Hospital Ipoh dan meninggal dunia pada pukul 6.55 petang semalam.

Korban ke-26 pula ialah pesakit kes ke-1321 yang merupakan lelaki berusia 53 tahun yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit kes ke-1,309.

Dia dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac lalu dan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi tadi.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 35 tahun menjadi korban ke-24 virus itu.

Sementara itu, Noor Hisham berkata terdapat 88 kes Covid-19 di kawasan Kluang, Johor.

Daripada jumlah itu, 74 kes adalah dari Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Kedua-dua kawasan ini telah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Kerja-kerja pembasmian kuman akan dijalankan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 44 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh daripada jangkitan itu sebanyak 259.


Lihat Komen
ADS