Najib: Cepatkan wang ke tangan rakyat
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan perlu segera menyalurkan wang bantuan kepada rakyat yang telah diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi.
Beliau berkata pengumuman pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah permulaan yang baik.
"Ini adalah satu permulaan yang baik. Cabaran sekarang ialah untuk membayar wang ini secepat mungkin supaya ia sampai ke tangan rakyat.
"Proses rayuan kepada sesiapa yang tidak dapat juga perlu dipermudahkan dan disegerakan. Ini adalah keutamaan pada masa sekarang," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, petang ini.
Antara pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan perdana menteri petang tadi ialah, Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.
Katanya, buat pertama kalinya bantuan akan turut disalurkan bukan sahaja kepada kumpulan B40 tetapi meliputi kumpulan M40.
Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.
Ia merangkumi bantuan RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
Begitu juga RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
Muhyiddin juga turut mengumumkan peruntukan kepada kementerian kesihatan, elaun khas sebanyak RM600 kepada doktor serta internet percuma sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam pada itu kata Najib, masih ada bahagian yang perlu diberi perhatian kerana situasi ekonomi dalam tempoh Covid-19 ini adalah sangat luar biasa berbanding ekonomi yang merudum.
Bagaimanapun katanya, ia boleh ditambah baik dengan pakej-pakej tambahan pada bulan-bulan mendatang.
Sangat menyeluruh, kata Mat Hasan
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata pengumuman perdana menteri itu adalah sangat bertepatan, strategik dan sesuai masa.
Katanya fokus utama rangsangan ini ialah mengurangi kesempitan hidup rakyat, membantu perniagaan dan melestarikan ekonomi.
"Ia sangat menyeluruh, menepati sasaran dan adil. Perdana menteri telah melakukan perkara yang betul dan memberikan kepimpinan yang sangat diperlukan waktu ini.
"Semoga semua perkara yang diumumkan itu dapat segera diagih dan dilaksanakan," katanya.
Mohamad mengingatkan rakyat supaya terus bersabar menghadapi detik sukar ini dan yakin akan dapat diatasi.

