KKM uji kit ujian pantas Covid-19, rancang beli 1 juta unit
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan ujian pada kit ujian pantas (RTK) dari Korea untuk mengesan Covid-19 dan berhasrat membelinya dengan kuantiti yang besar jika ia mempunyai tahap ketepatan yang tinggi, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu memberitahu pemberita bahawa KKM telah menguji jenama lain yang diperbuat dari China, dan memutuskan untuk tidak membuat pembelian dari syarikat tersebut kerana tahap ketepatan yang rendah.
“Setakat ini, makmal kami mempunyai kapasiti untuk memproses 7,100 kes sehari. Hari ini kami sedang menguji kit ujian antigen (dari) Korea, dan jika berjaya (tahap ketepatan tinggi), kami akan membuat pesanan sebanyak 200,000 unit.
"Kalau ketepatan tidak baik, kami tidak akan memesannya. Harap-harap kami dapat tahu keputusannya malam ini," katanya pada sidang media di Putrajaya petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kapasiti sedia ada berhubung ujian Covid-19 oleh makmal KKM di seluruh negara.
Noor Hisham berkata, jika ujian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati RTK dari Korea itu mempunyai tahap ketepatan yang tinggi, mereka akan memesan sehingga 1 juta kit.
Awal minggu ini, beliau berkata KKM sedang berusaha meningkatkan keupayaannya dalam mengesan kes positif Covid-19 di negara ini dengan menggunakan RTK.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa KKM perlu menguji kit-kit tersebut terlebih dahulu untuk melihat tahap ketepatannya.
Pihak kesihatan juga hanya menggunakan kit yang mengesan antigen, bukan antibodi manusia, untuk ketepatan yang lebih baik.
Pemegang polisi insurans perlu ke hospital swasta
Sementara itu, Noor Hisham turut ditanya mengenai pengumuman perdana menteri hari ini bahawa sektor insurans dan takaful menubuhkan dana khas sebanyak RM8 juta.
Dana itu akan digunakan untuk menampung ujian Covid-19 ujian sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi di hospital swasta.
Noor Hisham berkata dengan inisiatif itu, beliau berharap mereka yang mempunyai polisi insurans boleh pergi ke hospital swasta untuk menjalani ujian Covid-19.
"Ini akan meringankan beban KKM (dalam melakukan ujian)," katanya.
Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tambahan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan wabak Covid-19, berkata dana itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Kesihatan melakukan lebih banyak ujian Covid-19.

