4 kluster jangkitan Covid-19 di Kluang mungkin ada kaitan himpunan tabligh
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di Kluang, Johor mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur bulan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan awal pihaknya terhadap jumlah kes yang tinggi di daerah itu mengesan sekurang-kurangnya empat kelompok jangkitan di kawasan itu.
"Dari siasatan awal mungkin ada empat kluster berkaitan jemaah tabligh.
"Empat kes indeks telah hadir himpunan dan balik kampung tersebut (kemudian) menghadiri perkahwinan, solat jemaah dan sebagainya, dan (seterusnya) menjangkiti penduduk kawasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Menurut statistik KKM, setakat hari ini, Kluang mencatatkan 88 kes positif Covid-19.
Daripada jumlah itu, 74 kes adalah dari dua kawasan di daerah itu iaitu Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid.
Kedua-dua kawasan itu kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Noor Hisham berkata empat kes kematian Covid-19 juga berkaitan dengan penyebaran virus di kedua-dua kawasan tersebut.
"Ini antara sebab kenapa kerajaan memperkenalkan PKPD di sana," katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa kerajaan sedang melaksanakan PKPD di kedua-dua kawasan itu mulai tengah malam hingga 9 April.
Di bawah perintah itu, kedua-dua kawasan berkenaan diletakkan di bawah perintah berkurung yang ketat selama 14 hari sementara pegawai kesihatan cuba mengesan Covid-19 dari rumah ke rumah.
Menurut Noor Hisham, setakat ini sebanyak 13,762 peserta himpunan tabligh telah disaring, dengan 12,317 daripada mereka telah diuji untuk Covid-19.
Sebanyak 1,137 daripada mereka didapati positif, manakala 6,623 negatif. Baki 4,557 masih menunggu keputusan ujian.
Sementara itu, Noor Hisham juga memberitahu pemberita pada hari ini bahawa KKM telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu pusat untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari penawar Covid-19.
Beliau berkata antara tugasnya adalah untuk menyelidik mengenai ubat terbaru yang dipanggil Remdesivir untuk digunakan merawat pesakit Covid-19.
"Malam ini kita akan mengadakan perbincangan dengan WHO, antara agendanya adalah kerjasama dalam penyelidikan.
"Ia akan difokuskan kepada Hospital Sungai Buloh dan hospital-hospital Covid-19 yang lain boleh digunakan untuk mengumpul data pesakit," katanya.
Beliau berkata Malaysia adalah antara beberapa negara yang dipilih oleh WHO, dan antara kriteria pemilihan itu adalah kerana Malaysia sudah mempunyai platform untuk penyelidikan perubatan, dan penyelidik terlatih.
Ikuti perkembangan terkini Covid-19 dalam bentuk carta dan statistik di laman khas Malaysiakini.

