AI, DAP kutuk kekerasan polis
Amnesty International (AI) dan DAP hari ini mengutuk tindakan polis menggunakan kekerasan yang berlebihan ketika meleraikan perhimpunan aman yang diadakan di KLCC semalam kerana membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Amnesty International (AI) dan DAP hari ini mengutuk tindakan polis menggunakan kekerasan yang berlebihan ketika meleraikan perhimpunan aman yang diadakan di KLCC semalam kerana membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Pengarah Eksekutif AI Malaysia, Josef Roy Benedict mengingatkan bahawa hak kebebasan berhimpun dan mengadakan bantahan secara aman merupakan bahagian tersirat hak kebebasan bersuara.
"Hak ini dijamin dalam Artikel 19 and 20 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Artikel 10 Perlembagaan Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini..
Katanya, ketika pelancaran Laporan Tahunan 2006 minggu lalu, AI sekali lagi membangkitkan bahawa penyeksaan dan layanan buruk masih berterusan di Malaysia, terutama oleh pihak polis.
"Ia juga menunjukkan kurangnya keazaman politik pihak kerajaan untuk memastikan kaedah operasi dan amalan pihak polis selaras dengan standard antarabangsa seperti yang diperakukan oleh Suhakam dan Suruhanjaya Inkuiri Diraja," katanya.
Oleh itu, AI mendesak supaya dijalankan penyiasatan penuh terhadap kejadian tersebut.
'Kroni untung'
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kekerasan polis ketika menahan 18 orang termasuk dua wanita dalam bantahan semalam, menunjukkan kerajaan tidak mengambil iktibar daripada bantahan pengundi dalam pilihanraya negeri Sarawak terhadap kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, keputusan pilihanraya tersebut menunjukkan rakyat telah menyuarakan bantahan mereka terhadap kesusahan kewangan yang mereka alami berikutan kenaikan harga minyak.
Dalam satu kenyatan hari ini, beliau mendakwa, beberapa kroni Barisan Nasional dibenarkan untuk mengaut keuntungan besar sedangkan rakyat menderita.
"Dengan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus selepas kekalahan dalam pilihanraya negeri Sarawak, ia membayangkan bukan sahaja wujud sindrom penafian yang kuat dalam kerajaan, tetapi juga keangkuhannya kerana masih melakukan apa sahaja yang ia suka walaupun rakyat menderita," katanya.
Katanya, DAP terperanjat dengan sikap di kalangan pemimpin BN yang mempercayai Malaysia menikmati kemajuan ekonomi yang turut memberi faedah kepada semua rakyat Malaysia, dengan kadar pertumbuhan Ekonomi dijangka 6 peratus tahun ini, lebih baik daripada 5.3 peratus tahun lalu.
Sikap tersebut, tegas Lim, seperti tidak mengendahkan kesusahan rakyat biasa yang berdepan dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh tujuh tahun 4.8 peratus pada Mac 2006.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.