Terjemahan Mohd Zafran Amran yang baru berusia 10 tahun melihat sendiri bagaimana bapanya yang menyertai perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik semalam, dibelasah oleh anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketika ditemui di Pusat Rawatan Islam di Kuala Lumpur petang ini, murid sekolah rendah itu menyifatkan anggota polis yang memukul bapanya itu sebagai 'orang jahat'.

"Saya sendirian (ketika FRU menyerbu) dan takut sekali," kata Mohd Zafran. Bapanya Amran Zulkifli, terpaksa dirawat di hospital selepas berkali-kali dipukul oleh anggota polis.

Keadaan Amran yang berlumuran darah dari luka di kepalanya turut memeranjatkan mereka yang berada di tempat kejadian.

Peniaga berusia 38 tahun itu terus dikejarkan ke Pusat Rawatan Islam, Kuala Lumpur, dan menerima lima jahitan.

Pelbagai pertubuhan dan pemimpin pembangkang mengutuk keras tindakan agresif pihak polis terhadap kira-kira 500 orang yang menyertai satu perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik di luar KLCC.

'Saya bimbang keselamatan anak saya'

Ketika malaysiakini menemui Amran hari ini, beliau menunjukkan bekas lebam sebesar tapak tangan di bahu, belakang dan di bahagian atas tangan kanannya.

" Saya tidak takut (apabila FRU menyerbu), tetapi saya bimbangkan keselamatan anak saya. Saya bimbang dia juga akan dipukul," katanya.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Amran berkata, beliau mengangkat tangannya untuk melindungi anaknya apabila pihak polis menembak meriam air ketika mereka sedang beredar dari situ.

"Kemudian anggota FRU datang bersenjatakan cota dan perisau. Mereka memukul siapa sahaja berada di depan mereka. Kita tidak berpeluang merayu kepada mereka, kecuali melarikan diri.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya kehilangan anak saya. Ketika itu FRU datang dari arah belakang dan terus menerus memukul belakang dan kepala saya dengan cota dan perisau mereka," tambahnya.

Menurutnya, darah yang banyak keluar dari luka di kepalanya membasahi bajunya yang berwarna hitam hingga bertukar menjadi merah.

"Saya pening tetapi terus berlari dari situ," kata Amran. Beliau dibenarkan pulang hari ini.

Rakan-rakan Amran menghantarnya ke hospital, Walaupun dalam keadaan berlumuran darah, Amran meminta seorang rakannya supaya menjaga anaknya ketika dia mendapat rawatan.

Katanya, seorang jurugambar turut dipukul di kepala dan berlumuran darah, manakala yang lainnya mengalami kecederaan.

Amran naik berang apabila diberitahu bahawa Ketua Polis Dang Wangi ACP Kamal Pasha mendakwa, anggota FRU menggunakan kekerasan yang minimum. Kamal juga berkata, anggota polis bertindak demikian kerana mempertahankan diri mereka.

"Jika ianya kekerasan minimum, takkan mereka memukul kepala kami. Kami tidak bersenjata...tidak memukul anggota polis. Mereka bukannya meleraikan perhimpunan itu. Mereka mahu mencederakan kami!" katanya.

Amran telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut semalam.

Patah tangan

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Lim Ban Teng, 24, patah tangan kanannya akibat dipukul dengan cota.

Beliau memberitahu malaysiakini, peserta demonstrasi tersebut menjerit "OK, OK, kita beredar!" tetapi anggota FRU tidak memperdulikannya.

Menurut satu rakaman video mengenai kejadian tersebut, peserta demonstrasi itu mengangkat tangan mereka ketika diserbu anggota FRU.

"Tiba-tiba mereka menyerang kami," kata Lim, yang juga bendahari Pergerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).

Seorang lagi rakan Lim luka di mukanya terkena perisai polis manakala yang lainnya mengalami cedera ringan.

"Saya tidak boleh menulis. Ini akan menjejaskan tugas saya," kata Lim, seorang guru tuisyen.

Dr Hatta Ramli, penganjur utama perhimpunan semalam, berkata pihaknya akan membuat aduan kepada Suhakam terhadap keganasan anggota FRU itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak gentar dengan kekerasan polis terhadap mereka.

"Kami merancang untuk mengadakan satu lagi protes," katanya. Berita asal