Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Hisham enggan endah gelaran wira negara
Diterbitkan:  Mar 29, 2020 7:38 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah boleh dianggap sebagai individu utama dalam 'perang' melawan wabak Covid-19 di Malaysia.

Namun baginya, gelaran 'wira negara' yang diberikan sejumlah pihak terhadapnya bukanlah perkara utama, apatah lagi di tengah-tengah krisis yang melanda seluruh dunia.

Apa yang penting buat masa ini, katanya, adalah mencari jalan mengekang wabak itu daripada terus menular.

"Sekarang ini bukan tentang saya, tetapi apa kami boleh lakukan terhadap Covid-19.

"Jadi pada saya tak penting (gelaran wira negara), yang penting adalah perkhidmatan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sejak bermulanya Covid-19 di Malaysia, ramai yang memuji Noor Hisham ekoran tindakan dan langkah tuntas yang diambil Kementerian Kesihatan (KMM) dalam menanganinya.

KKM antara lain berjaya mengesan, dan seterusnya merawat mereka yang telah dijangkiti wabak itu. Pada masa sama, kementerian itu juga berjaya menyediakan 19,200 katil sebagai langkah persediaan menampung pesakit pada masa akan datang.

Selain itu, lebih 1,000 doktor dan jururawat yang telah bersara juga telah kembali berkhidmat di barisan depan, selepas beliau menyuarakan permintaan KKM agar mereka berbuat demikian.

Setakat ini, antara langkah utama Malaysia dalam membendung wabak itu adalah dengan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ia pada asalnya dikuatkuasakan bermula 18 hingga 31 Mac, tetapi setakat ini telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Kluster baru jangkitan

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham turut memaklumkan kluster baru dalam sebahagian daripada 150 kes baru hari ini termasuklah kluster generasi keempat dan kelimat daripada perhimpunan Tabligh Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur.

Daripada 150 kes tersebut, sebanyak 61 kes mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan itu.

"Kluster baru secara tidak langsung berkaitan dengan (perhimpunan itu), sama ada generasi keempat atau kelima.

"Oleh itu kita dapat melihat penyebarannya, terutama kerana mereka (daripada kluster perhimpunan itu) pergi ke masjid, dan orang (lain) yang ke masjid juga dijangkiti," katanya.

"Bilangan yang kita lihat sekarang dari kumpulan Sri Petaling telah masuk ke generasi kelima, bukan lagi generasi pertama," katanya lagi.

Jangkitan generasi keempat dan kelimat bermakna individu yang dijangkiti Covid-19 mendapatnya daripada individu yang dijangkiti daripada individu lain, yan dijangkiti daripada indvividu yang dijangkiti mereka yang hadir ke perhimpunan itu.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata berdasarkan status terkini kluster Sri Petaling, seramai 17,965 telah menjalani ujian saringan dan 12,842 sampel telah diambil, dengan 1,254 orang daripadanya disahkan positif.

Ini bermakna 7,084 yang menjalani pemeriksaan disahkan negatif, manakala 4,504 orang lagi masih menunggu keputusan.

seramai 5,123 orang lagi masih belum menjalani ujian saringan, kata Noor Hisham lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS