Spura tidak pernah minta Msia hapus kegunaan pasport Terhad
Singapura tidak pernah meminta Malaysia supaya menghapuskan penggunaan Pasport Terhad Malaysia (MRP) untuk memasuki republik tersebut.
Singapura tidak pernah meminta Malaysia supaya menghapuskan penggunaan Pasport Terhad Malaysia (MRP) untuk memasuki republik tersebut.
Sebaliknya, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, berkata Malaysia, atas kemahuannya sendiri, berhenti mengeluar dan memperbaharui MRP berkuatkuasa Januari tahun ini.
Dalam satu kenyataannya semalam, ICA berkata, Malaysia juga turut mengumumkan bahawa MRP tidak lagi sah untuk perjalanan selepas 31 Disember 2006.
ICA mengulas laporan media Malaysia yang memetik Menteri Halehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai berkata Malaysia mempersetujui permohonan Singapura pada 2004 untuk memansuhkan sistem pasport terhad.
"Berikutan perkembangan ini dan sejajar dengan amalan antarabangsa yang memerlukan semua dokumen perjalanan mempunyai tempoh sahlaku sekurang-kurangnya enam bulan, ICA kemudiannya menulis surat kepada Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Febaruari, 2006 untuk menyatakan secara rasmi bahawa agensi itu akan berhenti menerima MRP sebagai dokumen sah ke Singapura berkuatkuasa 1 Julai, 2006, iaitu enam bulan sebelum tarikh akhir pada 3 Disember 2006.
"Satu salinan surat itu turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
Penggunaan MyKad
Menurut laporn Bernama, ICA juga berkata, agensi itu masih menunggu Jabatan Imigresen Malaysia mempersetujui ujian teknikal mengenai kesesuaian MyKad untuk digunakan sebagai dokumen perjalanan antara kedua-dua negara.
"Ujian teknikal ini merupakan proses yang perlu dan kritikal dalam usaha memastikan kesesuaian kad itu dalam sistem pelepasan imigresen kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan Isnin.
Menurut kenyataan itu, ICA mengutus surat kepada Imigresen Malaysia pada Januari tahun lalu untuk bertanyakan sama ada jabatan berkenaan bersedia meneruskan ujian teknikal MyKad.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada laporan akhbar bahawa Singapura telahpun menolak penggunaan MyKad sebagai dokumen perjalanan.
Kenyataan ICA itu menarik perhatian banyak pihak kerana perkara yang sama dilaporkan berlaku berhubung isu pembinaan jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata Malaysia membuat keputusan membatalkan pembinaan jambatan tersebut kerana tidak dapat memenuhi permintaan Singapura untuk mendapatkan bekalan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia di Johor.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam wawancara eksklusifnya dengan Malaysia, sebalik berkata Malaysia yang menawarkan bekalan pasir dan ruang udara bagi memujuk republik itu supaya bersetuju dengan pembinaan jambatan berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.