Terjemahan Konflik Israel-Palestinian menjadi salah satu tajuk utama sidang Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) kali ini tetapi Menteri Luar Hamas telah bertindak menarik diri daripada menghadirinya kerana membantah kehadiran pemimpin kumpulan Fatah.

Mahmud al-Zahar, pemimpin Hamas di Gaza, menarik diri sehari sebelum bermulanya sidang peringkat menteri NAM di Kuala Lumpur, selepas kehadiran Faruq Qaddumi untuk mengetuai perwakilan Palestin.

Qaddumi menyifatkan Mahmud sebagai seorang pelatih dan berkata kedudukan beliau (Qaddumi), selaku ketua politburo Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), adalah lebih tinggi daripada perwakilan pihak berkuasa Palestin.

"Ianya adalah sebuah kerajaan tempatan," katanya merujuk kepada Hamas. "Saya adalah wakil tunggal rakyat Palestin. Beliau tidak menyedarinya," katanya kepada pemberita.

"Saya mempunyai 30 tahun pengalaman. Ini adalah kali pertama dia menghadiri persidangan seumpama ini. Saya memberitahunya "saya akan latih awak terlebih dahulu dan kemudian barulah saya akan serahkan semuanya kepada awak. Dan awak boleh jadi menteri luar," katanya.

Ia adalah ekoran daripada pertelagahan sengit antara puak Hamas dan Fatah. Fatah pernah memerintah Palestin sebelum tewas kepada Hamas dalam pilihanraya Parlimen Januarai lalu.

Ketepikan perbezaan

Presiden kerajaan Palestin, Mahmud Abbas, yang mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Fatah di Tebing Barat ketika ketiadaan Qaddumi, telah berusaha untuk meredakan ketegangan antara kedua belah pihak yang baru-baru telah mencetuskan pergaduhan berdarah di Gaza.

Qaddumi berpejabat di Tunis selepas beliau enggan pulang ke wilayah Palestin bersama pemimpin dalam buangan yang lain pada 1994.

NAM telah menggesa Palestin supaya mengenepikan perbezaan mereka, dan mewujudkan perpaduan demi keamanan di rantau tersebut, tetapi Qaddumi menafikan pergaduhan tersebut sebagai masalah utama.

"Jika ada sedikit perbezaan politik, itu tidak bermakna kami tidak bersatu kerana kedua-dua kami berjuang menentang pendudukan (Israel). Mengapa kita harus berpecah? Mungkin, apa yang dapat saya katakan ialah kedua-dua pihak mempunyai idea masing-masing," katanya.

Pejabat Mahmud Al-Zahar di Gaza mengesahkan yang beliau tidak akan menghadiri sidang dua hari NAM itu "berikutan kehadiran mengejut Qaddumi".

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak mahu membesar-besarkan isu tersebut sambil berkata ia bukan suatu boikot.

"Kita tidak ada masalah sekiranya kedua-dua mereka mahu hadir, tetapi lawatan Mahmud ke sini dianggapnya sebagai lawatan dua hala, jadi kita menerimanya," kata Syed Hamid kepada pemberita.

Tragedi besar

Semalam, ketika berucap merasmikan mesyuarat tersebut, Pengerusi NAM, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa supaya penyelesaian segera dicari untuk mengakhiri krisis Palestin, yang disifatkannya sebagai satu tragedi terbesar pada zaman ini.

Katanya, proses damainya kini tidak ketentuan, sambil menggesa supaya ditamatkan sekatan, sambil menegaskan bahawa konflik tersebut tidak akan selesai selagi hak rakyat Palestin diiktiraf.

Sehubungan itu, Abdullah menggesa supaya pengiktirafan diberikan kepada kerajaan Hamas yang menurutnya perlu dilakukan menerusi dialog, dan bukannya dengan mengenakan sekatan.

Konflik Israel-Palestinian menjadi salah satu tajuk utama mesyuarat NAM kali ini. Para pegawai Palestin berkata mereka menjangka kumpulan tersebut akan menerima deklarasi menolak sebarang tindakan sebelah pihak oleh Israel dalam menentukan sempadannya. Berita asal

- AFP