Badan pemantau pilihan raya Bersih menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyalurkan peruntukan yang sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengambil kira pihak kerajaan atau pembangkang.

Menyambut baik pengumuman Muhyiddin berkenaan dana RM100,000 kepada semua ahli parlimen pembangkang, Bersih pada masa sama menegaskan bahawa jumlah peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat kerajaan masih tidak diketahui.

“Bersih berterima kasih kepada perdana menteri kerana tidak mendiskriminasikan ahli parlimen pembangkang dan mengalu-alukan peruntukan khusus berjumlah RM100,000 yang disalurkan, seperti yang disahkan oleh Wong Chen (MP Subang) berdasarkan surat yang beliau terima daripada Pejabat Perdana Menteri hari ini.

“Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat pembangkang menyelesaikan keperluan rakyat di kawasan mereka, terutama ketika masa kritikal ini bagi menghadapi wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, tidak diketahui berapakah jumlah peruntukan khusus kepada ahli parlimen kerajaan.

“Oleh itu, Bersih ingin menekankan kembali seruan kami sebelum ini iaitu semua ahli parlimen perlu menerima jumlah dana yang sama tanpa mengira parti politik,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih turut menggesa Muhyiddin supaya menginstitusikan reformasi dana pembangunan kawasan (DPK) bagi menyelesaikan isu dana yang diterima ahli parlimen pembangkang yang sering kurang berbanding ahli parlimen kerajaan.

“Pengundi di kawasan pembangkang tidak boleh dihukum kerana memilih wakil rakyat yang tidak selari dengan gabungan kerajaan," kata Bersih.

Selain itu, kata Bersih lagi, DPK juga perlu diuruskan dengan garis panduan yang teliti, pemantauan dan audit, berbanding hanya berdasarkan budi bicara wakil rakyat.

“Ini akan mencegah salah guna kuasa, pembaziran dan korupsi serta membolehkan pengundi memohon dana tersebut tanpa ada rasa terhutang budi kepada ahli parlimen,” katanya lagi.

Bersih juga menyeru Muhyiddin agar menamatkan amalan diskriminasi terhadap wakil rakyat pembangkang dengan menjadikan reformasi itu sebahagian daripada undang-undang.