Terjemahan Kerajaan dan ahli Parlimen anggota Asean serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bersatu mendesak supaya Aung San Suu Kyi dan lebih 1,000 tahanan politik dibebaskan segera oleh pemerintah junta tentera Myanmar, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Katanya, tindakan melanjutkan tahanan Suu Kyi bukan sahaja menunjukkan bahawa junta tersebut adalah salah satu rejim yang paling menindas demokrasi dan hak asasi manusia di dunia, tetapi juga menunjukkan Asean dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi tidak relevan dan tidak mampu menanganinya.

Katanya, masyarakat Asia dan antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keingkaran junta Myanmar dan perlu menggubal rancangan bersama untuk memberi tekanan baru kepada Myanmar supaya membebaskan semua tahanan politiknya.

Ketua pembangkan itu mendesak ahli-ahli Parlimen Asean supaya mengembleng tenaga, bukan sahaja untuk pembebasan tahanan politik, tetapi juga untuk menggantung keahlian Burma dalam Asean jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Di peringkat serantau, kerajaan-kerajaan Asean mesti menuntut junta tentera Burma supaya bertanggungjawab terhadap semua janji-janji kosongnya mengenai pembebasan Suu Kyi dan tahanan politik yang lain, mengenai demokrasi dan penyatuan nasional.

"Di peringkat antarabangsa pula, Majlis Keselamatan PBB mesti meletakkan isu Burma dalam agenda rasminya bagi mencerminkan kesungguhan PBB dalam mencari penyelesaian terhadap bencana demokrasi dan kemanusiaan di Burma," katanya.

Tahanan di rumah

Junta Burma itu telah melanjutkan tempoh tahanan terhadap Suu Kyi untuk tempoh setahun lagi walaupun selepas wakil khas PBB Ibrahim Gambari mengadakan perbincangan dengan pemimpin kanan Myanmar, Jeneral Than Shwe.

Suu Kyi telah menghabiskan masa selama 10 tahun dikenakan tahanan di rumah di Rangoon.

Kerajaan junta itu telah menggagalkan demonstrasi pro-demokrasi pada 1988 dan dua tahun kemudiannya menolak keputusan pilihanraya yang dimenangi oleh parti pimpinan Suu Kyi.

Wakil khas PBB dari Malaysia, Tan Sri Razali Ismail, meletakkan jawatan Januari lalu selepas dua tahun tidak dibenarkan masuk ke Myanmar.

Mac lalu, wakil khas Asean, Datuk Seri Syed Hamid Albar memendekkan tempoh lawatannya ke Myanmar selepas tidak dibenar mengadakan pertemuan dengan Suu Kyi. Menteri Luar Malaysia itu menyifatkan tindakan melanjutkan tempoh tahanan ke atas Suu Kyi itu sebagai 'mengecewakan'. Berita asal