Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kondominium di KL kena 'perintah berkurung' lepas 17 kes Covid-19 dikesan
Diterbitkan:  Mar 30, 2020 7:09 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Kondominium Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, di Kuala Lumpur menjadi tempat ketiga yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 31 Mac hingga 13 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan berkata arahan itu membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

“Dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya.

Selain itu, semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara itu.

Menurut beliau, penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

“Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di Menara One City itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Kerajaan mengenakan PKPD di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, mulai tengah malam semalam selepas sebahagian besar penghuni asrama sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Pada 26 Mac lalu, dua kawasan petempatan di Kluang, Johor dikenakan PKPD ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi.

Kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.


Lihat Komen
ADS