Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM sahkan terima laporan isu pelancaran semula ECRL

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan projek Rangkaian Landasan Kereta Api Pantai Timur Rel (ECRL) yang dilancarkan semula.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan perkara itu.

Azam bagaimanapun menafikan laporan berita yang memetiknya sebagai mengesahkan penyiasatan sedang dijalankan terhadap seorang ahli politik kanan yang berkait rapat dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Saya cuma mengesahkan bahawa SPRM menerima laporan mengenai isu ECRL.

"Tetapi saya tidak pernah menyebut mana-mana orang," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa identiti mereka tidak dapat didedahkan kerana SPRM belum memulakan siasatan.

Azam juga berkata SPRM akan meneliti laporan mengenai ECRL sebelum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan siasatan lanjut.

Malaysiakini difahamkan bahawa laporan SPRM dibuat oleh pemimpin NGO Ab Jalil Backer atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghidupkan semula projek bernilai bilion dolar itu.

PH berjaya mengurangkan kos projek ECRL kepada RM44 bilion, iaitu RM21.5 bilion lebih murah daripada kos asalnya yang dilaporkan sebanyak RM65.5 bilion seperti yang pertama kali dipersetujui pada bulan Oktober 2016 di bawah pentadbiran BN yang ketika itu diterajui Najib Razak.

Pentadbiran PH sebelum ini menggantung pembinaan projek-projek mega termasuk ECRL, sementara menunggu rundingan semula menurunkan kosnya.

Pada 12 April 2019, di Beijing, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani satu perjanjian tambahan untuk menyambung semula projek ECRL yang digantung, dengan kos lebih rendah.

Projek itu dilancarkan semula oleh menteri pengangkutan ketika itu, Anthony Loke pada Julai tahun lalu, hampir setahun selepas ia ditangguhkan.

Pada bulan Februari, Loke dilaporkan berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2026 dan beroperasi pada awal 2027.

Penjajaran ECRL yang baru kini dipendekkan sejauh 40km dari 688km kepada 648km - dari Kota Bahru di Kelantan dan merentansi kawasan ke selatan melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi, Kajang, Putrajaya, dan berakhir di Pelabuhan Klang.

Lihat Komen
ADS