Terjemahan Sebuah badan hak asasi manusia serantau tertanya-tanya sama Malaysia layak untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru ditubuhkan, berdasarkan kepada kegagalannya melindungi hak asasi manusia Ahad lalu.

Ahad lalu, ramai yang cedera apabila pihak polis menggunakan kekerasan ketika meleraikan satu perhimpunan aman bagi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik di KLCC.

Dua puluh orang ditahan manakala dua orang bapa cedera teruk dipukul oleh anggota polis anti-rusuhan di depan mata anak-anak mereka sendiri. Para pengunjung dan pelancong juga terperanjat menyaksikan kejadian tersebut.

"Adalah amat malang sekali kejadian itu berlaku selepas Malaysia dilantik untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini bagi tempoh tiga tahun.

"Kami ingin mengingatkan Malaysia bahawa dengan mandat tersebut, ia bertanggungjawab untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia dalam negeri mengikut semakan berkala sejagat, sambil memastikan keberkesanan majlis tersebut," kata Pengarah Eksekutif Forum Asia bagi Pembangunan dan Hak Asasi Manusia (Forum-Asia) Anselmo Lee.

Tubuh segera IPCMC

Majlis itu ditubuhkan bagi menangani pelanggaran secara sistematik dan mempromosi penyelarasan dan aliran utama hak asasi manusia dalam sistem PBB.

Malaysia dipilih menyertai majlis 46 anggota itu kerana 'kebebasan akhbar' dan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Lee juga menggesa pertubuhan sivil di Malaysia, termasuk ahli gabungannya Suaram, supaya terus mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Salahlaku dan Aduan polis (IPCMC).

Berdasarkan kepada kekerasan yang berlaku Ahad lalu, maka penubuhan IPCMC menjadi amat diperlukan untuk memastikan pegawai polis bertanggungjawab terhadap sebarang perbuatan rasuah dan tindakan kekerasan yang berlaku. Berita asal