GPMS: SuhaimiReezal bertembung lagi Ogos ini
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dijangka kembali bergolak menjelang bulan Ogos ini apabila dua kumpulan yang bertelagah, akan bertembung sekali lagi untuk menguasai persatuan tersebut.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dijangka kembali bergolak menjelang bulan Ogos ini apabila dua kumpulan yang bertelagah, akan bertembung sekali lagi untuk menguasai persatuan tersebut.
Krisis kepimpinan GPMS sebelum ini reda berikutan keputusan Pendaftar Pertubuhan yang mengiktiraf barisan kepimpinan gabungan tersebut yang dipilih pada tahun 2002, yang diterajui oleh Datuk Suhaimi Ibrahim.
Bagaimanapun, GPMS akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya sepertimana arahan ROS, dijangka pada bulan Ogos ini untuk tempoh dua tahun akan datang.
Berikutan itu, para pemerhati, menjangka kedua-dua pihak yang bertelagah puak Suhaimi dan puak Reezal Merican Naina Merican akan bertembung sekali untuk bertanding merebut kepimpinan GPMS.
Sebelum itu, krisis kepimpinan GPMS memuncak apabila kedua-dua kumpulan mengadakan persidangan berasingan untuk memilih pucuk pimpinan gabungan itu.
Bagaimanapun, ROS tidak mengiktiraf kedua-dua persidangan dan pemilihan tersebut, dan sebaliknya memutuskan untuk menerima barisan kepimpinan yang dipilih pada tahun 2002.
Proses demokrasi
Jurucakap kumpulan Reezal, Syed Annuar Mohamad berkata, kumpulannya hanya mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada ahli-ahli GPMS dan menyuburkan lagi proses demokrasi yang dibenarkan oleh perlembagaan GPMS.
"Saya ingin tegaskan, ia bukan untuk membalas dendam atau gila kuasa tetapi adalah berdasarkan pertimbangan yang matang setelah melihat kehendak akar umbi," kata beliau yang juga bekas setiausaha agung GPMS.
Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad bila dan di mana pemilihan pucuk pimpinan itu baru akan diadakan, belum diputuskan.
"Presiden GPMS yang ada sekarang mungkin memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan GPMS tidak lama lagi untuk menentukan perkara-perkara itu,"ujarnya.
"Saya menjangkakan paling awalpun ia akan diadakan Ogos depan atau paling lewat awal tahun depan," katanya.
Syed Annuar juga berkata, kumpulannya akur dengan keputusan ROS itu dan mengiktiraf Suhaimi sebagai Presiden GPMS sekarang dan memberi sokongan penuh untuk mengembalikan kegemilangan gabungan pelajar tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.