Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menafikan bahawa Malaysia melakukan kesilapan diplomatik apabila ia menjemput kedua-dua wakil Palestin untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM-CoB) di Putrajaya.

"Sebenarnya tidak ada apa yang dinamakan kesilapan diplomatik, kesilapan itu bukan di pihak Malaysia. Kami menjemput rakyat Palestin dan bersedia menerima kesemuanya untuk hadir dan mereka yang layak datang," katanya kepada pemberita.

"Bagi Malaysia kami menerima jika kedua-duanya datang. Jika seorang daripada mereka tidak bersetuju datang, hanya kerana yang lainnya tiada hak untuk datang, maka itu terserah kepada mereka untuk menyelesaikannya.

"Jika ada sebarang perselisihan atau pertikaian di antara mereka, terpulang kepada mereka untuk menyelesaikannya dan bukan kami. Kami menyokong perjuangan Palestin, kami menyokong keputusan pilihanraya bebas yang diadakan, tetapi kami tidak mahu terlibat dalam sebarang pertikaian atau konflik di antara mereka," katanya.

Beliau mengulas laporan yang memetik Menteri Luar kerajaan Hamas Mahmoud Zahar sebagai berkata Malaysia tidak patut menjemput Ketua Jabatan Politik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Farouk Qaddoumi daripada kumpulan Fatah untuk menghadiri mesyuarat NAM itu.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata adalah menyedihkan jika rakyat Palestin tidak boleh bersatu untuk memperjuangkan nasib mereka sedangkan Malaysia dan negara lain cuba membantu mereka.

"Rakyat Palestin harus mewujudkan perpaduan dalam kalangan mereka. Malang sekali jika mereka menonjolkan imej di mana kesemua kita terus menyokong perjuangan rakyat Palestin tetapi mereka sendiri tidak bersatu," katanya.