Covid-19: Ubah apa yang kita tahu
ULASAN | Selama ini kita menyangka, dasar-dasar ekonomi baharu, yang sofistikated atau yang comel-comel akan mampu mengubah status dan nasib hidup kita. Selama ini juga, kita percaya perubahan kuasa politik akan dapat mengubah naratif hidup kita. Sangkaan dan kepercayaan kita ini, rupanya perlu diperbaharui.
Yang real pada realiti hari ini ialah, kita berubah kerana kita dipaksa untuk berubah. Paksaan ini datang bila ketakutan muncul. Ketakutan ini real, bukan dibuat-buat. Takut bukan kerana selepas dengar ceramah tanda-tanda besar kiamat, takut bukan sebab menonton filem Outbreak atau Contagion.
Hari ini kita takut nak bersentuhan dan bersalaman, kita takut bergerombolan dalam mesyuarat, bersantai-santai di restoran atau kafe. Kita takut pada satu penyakit bernama Covid-19.
Dari WHO Health Emergency Dashboard memaparkan sebanyak 783,360 kes positif Covid-19 ketika rencana ini ditulis. Sebanyak 37,203 kematian dari 205 kawasan pelbagai negara di seluruh benua pada ketika ini. Angka kematian ini hampir menyamai jumlah penonton sebuah stadium untuk bolasepak liga perdana Inggeris (EPL). Bayangkan, penonton satu stadium mati dalam tempoh tiga bulan.
Tiada siapa di muka bumi ini mempunyai kekebalan terhadap Covid-19, kerana tiada siapa pernah dijangkiti oleh Covid-19 hingga tahun 2019 di Wuhan, China. WHO mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada bulan Mac.
Puluhan syarikat dan banyak lagi penyelidik bebas sudah mula mengusahakan ujian, rawatan dan vaksin sebagai penawar bagi ancaman virus ini. Punca dari mana lahirnya makhluk ini menjadi kebimbangan utama umat manusia ketika ini.
Kesan pandemik Covid-19 adalah amat sukar diramalkan ketika ini. Tetapi kita boleh belajar dari pandemik menerusi sejarah dalam menentukan langkah terbaik untuk kita.
Wabak Justinian pernah berlaku pada tahun 541-542 di Eropah yang telah membunuh 25 juta manusia. The Black Death berlaku pada tahun 1346-1353 juga di Eropah, Afrika dan sebahagian benua Asia yang membunuh sekitar 75 juta jiwa.
‘Panadol’ rangsangan ekonomi
Pendemik kolera muncul antara tahun 1852-1860 di India yang menyebabkan kematian sehingga satu juta manusia. Pada 1889-1890 berlaku lagi flu dari virus Influenza H2N2 tetapi hari ini disahkan sebagai Influenza A jenis H3N8. Begitu juga pada 1910-1911, berulangnya wabak kolera keenam di Timur Tengah dan kawasan Utara Afrika yang membunuh hampir satu juta orang hanya dalam tempoh setahun.
Pada 1918 sekali lagi berulang pandemic flu yang membunuh antara 20 hingga 50 juta orang meliputi wilayah yang lebih luas di seluruh dunia ketika itu. Di China muncul semula Asian Flu (Influenza A) yang membunuh hampir 2 juta nyawa pada 1956-1958 dan sekali lagi pada tahun 1968.
Dalam pada masa saintis mencari penawar bagi Covid-19 ketika ini, sebaiknya kita mengambil peluang dan iktibar dari sejarah tersebut. Inilah penawar pertama yang perlu kita ambil sebelum terhasilnya vaksin bagi merawat wabak Covid1-9 ini.
Pakej-pakej rangsangan ekonomi semua ini bukanlah mujarobat sebenar, ia hanyalah Panadol untuk meredakan sedikit kekacauan fikiran dan hati kita sementara menunggu penyakit ini reda dan berakhir.
Justeru sebelum keadaan kembali normal, kita ambil kesempatan duduk diam-diam di rumah dan bertanya kembali kepada diri kita, rakan-rakan kita, hatta pemimpin kita. Apakah gunanya ilmu pengetahuan dan kuasa politik kita selama ini tetapi gagal melindungi diri kita dari ancaman wabak yang memusnahkan aktiviti hidup kita?
Apa yang kita tahu tentang ekonomi, sains, seni, falsafah dan politik selama ini, hanya boleh ditunjukkan oleh Covid-19. Serangan Covid-19 ini memecahkan tembok-tembok perkauman dan agama serta jurang antara T20 dan B40, antara Tan Sri Tim Tam Tum dengan Mak Cik Kiah. Kita harus bersama memerangi Covid-19 ini sama sepertimana kita memerangi politik perkauman yang sempit. Kita mahu hentikannya buat tidak kembali lagi.
Apa yang kita tahu selama ini, harus disemak semula.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

