GLOBAL | Gara-gara percaya virus Covid-19 boleh merebak walaupun jenazah sudah dikuburkan, sebuah keluarga yang berduka akibat kematian terpaksa mencari tanah perkuburan yang sanggup menerima saudara mereka.

Hal itu berlaku kerana ada penduduk setempat enggan menerima jenazah berkenaan untuk dikebumikan.

Penolakan pertama, lapor Tribunnews, berlaku di tempat tinggal keluarga si mati sendiri. Ketika arwah mahu dikebumikan kelmarin, lapor portal itu, penduduk setempat menyatakan keberatan dan meminta dicari kawasan perkuburan lain.

Kemudian waris si mati cuba mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan untuk mengebumikan jenazah di tanah kerajaan. Sekali lagi orang ramai membantah.

Menurut ketua daerah Banyumas di Jawa Tengah, Achmad Husein, berdasarkan kad pengenalan si mati jenazah patut dikebumikan di tempat dia tinggal iaitu Kampung Tumuyang.

Katanya hanya selepas kali keempat barulah jenazah berkenaan dibenarkan dikebumi. Bagaimanapun laporan itu tidak menyatakan dengan jelas lokasi jenazah itu dikebumikan.

Menurut Achmad dia sudah memberi penjelasan bahawa jenazah yang dikebumikan mengikut langkah-langkah yang ditetapkan tidak akan membahayakan orang ramai.

"Kemungkinan besar kebimbangan mereka itu berpunca daripada mesej yang tular di media sosial kononnya wabak ini boleh merebak walaupun selepas mayat ditanam," katanya.

Achmad juga mengakui kekurangan maklumat dan bersosial mendorong penduduk terbabit membuat penolakan berkenaan.

Untuk rekod semalam jurucakap kerajaan, Achmad Yurianto, berkata jumlah kumulatif kematian terkini di Indonesia ialah seramai 157 orang, manakala jumlah kes positif baru bertambah 149 menjadikan jumlah terkini sebanyak 1,677 kes.