mk-logo
Berita
AGC masih belum jawab representasi anak Najib semak tuduhan
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 7:46 AM
Dikemaskini: 7:46 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum menjawab representasi yang dikemukakan Riza Shahriz Abdul Aziz untuk menyemak semula pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 billion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Riza, 43, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menghantar representasi itu kepada AGC pada 18 Nov tahun lepas.

Peguam Riza, Datuk Hariharan Tara Singh berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil representasi itu.

“AGC masih belum menjawab permohonan representasi anak guam saya,” katanya melalui mesej WhatsApp hari ini.

Beliau juga berkata Mahkamah Sesyen telah menangguhkan prosiding pengurusan kes itu pada 5 Mei yang pada asalnya ditetapkan pada 6 April berikutan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Pihak pembelaan menerima surat dari mahkamah hari ini, memaklumkan mahkamah menetapkan 5 Mei, pada 9 pagi untuk prosiding pengurusan kes itu,” katanya.

Pada 9 Ogos tahun lepas, Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan pada Januari iaitu 6 hingga 9 dan 13 hingga 16, bagaimanapun tarikh itu dilapangkan kerana menunggu keputusan representasi tersebut.

Pada 5 Julai lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 Sept, 2012 dan 10 Okt 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Okt 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini