Trump kata 3M 'akan bayar harga tinggi' berhubung penutup mulut
KORONAVIRUS l Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyelar firma 3M dalam satu ciapan pada Khamis lalu dan mengumumkan beliau akan menggunakan Defense Production Act atau Akta Pengeluaran Pertahanan dalam memaksa syarikat itu untuk menghasilkan penutup mulut dan hidung.
"Kami hentam keras 3M hari ini selepas melihat apa yang mereka lakukan dengan penutup mulut mereka. ‘Akta P’ sepanjang jalan. Ramai dalam kerajaan terkejut tentang apa yang mereka lakukan - akan mempunyai harga yang besar untuk dibayar!" ciap Trump di Twitter.
Pada taklimat White House mengenai pandemik Covid-19 pada awal Khamis, Trump mengumumkan bahawa beliau telah menandatangani perintah Defense Production Act dalam mengarahkan 3M untuk menghasilkan penutup mulut dan hidung.
"Semoga mereka melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan," katanya, tanpa mengulas lanjut.
3M yang berpangkalan di St Paul, Minnesota tidak segera bertindak balas terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan mereka. Jenama syarikat itu termasuk Scotch, Post-It dan Nexcare, serta produk penjagaan kesihatan untuk profesional.
Penasihat perdagangan White House Peter Navarro berkata pada taklimat itu, "Kami mempunyai beberapa isu bagi memastikan bahawa semua pengeluaran yang dilakukan 3M di seluruh dunia, cukup daripada jumlah itu akan kembali ke sini di tempat yang betul."
White House tidak segera memberi respons berhubung ciapan presiden itu.
Penutup mulut dan hidung jenis N-95 yang dihasilkan oleh 3M dan syarikat-syarikat lain amat berkurangan di kalangan pekerja penjagaan kesihatan yang merawat pesakit Covid-19.
Akta Pengeluaran Pertahanan, yang diluluskan pada tahun 1950, memberi kuasa kepada presiden untuk menambahkan pengeluaran sesuatu produk yang dianggap penting untuk keselamatan negara dan sebab-sebab lain.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS dijangka mengeluarkan garis panduan dalam beberapa hari akan datang yang mungkin mengarahkan orang ramai supaya memakai penutup mulut apanila keluar dari rumah.
- Reuters

