'Kedutaan perlu main peranan bantu warga mereka'
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kedutaan asing perlu memainkan peranan untuk menjaga kebajikan rakyat mereka di negara ini.
Jelas Ismail, kedutaan-kedutaan itu perlu berhubung dengan jawatankuasa pengurusan bencana daerah masing-masing, dan kerajaan akan membantu dengan bantuan seperti mendapatkan makanan dan sebagainya.
"Setiap kedutaan asing harus bertanggungjawab untuk memastikan warga negara mereka mendapat bantuan yang diperlukan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memetik laporan bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia kehabisan makanan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Berdasarkan anggaran tidak rasmi, terdapat kira-kira 6 juta pekerja asing di Malaysia.
Ditanya sama ada pelarian juga akan mendapat bantuan, Ismail menjawab: "Sama untuk pelarian. Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat tempatan atau warga asing lapar."
Tidak jelas sama ada ia bermaksud bahawa kedutaan juga harus menjaga pelarian, atau jika kerajaan akan membantu pelarian.
Menurut Agensi Pelarian PBB, terdapat kira-kira 178,990 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia pada Februari.
Jumlah itu termasuk 101,010 warga Rohingya, yang tidak mempunyai kerakyatan susulan keengganan Myanmar untuk memberi mereka kewarganegaraan.
Sementara itu, dalam isu berasingan, Ismail berkata para graduan Malaysia yang telah menamatkan pengajian tetapi tersekat di luar negeri susulan sekatan perjalanan akan menerima bantuan daripada penaja mereka.
Ini termasuk Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam, dan biasiswa Petronas.
Ismail berkata penaja akan membantu menampung kos penginapan, makanan dan keperluan.
Ditanya mengenai berita yang melaporkan bahawa sebuah agensi swasta sedang menyewa penerbangan untuk membawa pelajar Malaysia di Mesir, menteri kanan itu menjawab bahawa kerajaan menyambut baik usaha itu.
Bagaimanapun, beliau berkata agensi persendirian mesti berhubung dengan Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara.
Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia yang kembali ke negara dengan penerbangan swasta juga tertakluk kepada kuarantin mandatori di kemudahan kerajaan yang ditetapkan.
Perintah kuarantin selama 14 hari bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara berkuat kuasa hari ini.
Bagaimanapun, Ismail menjelaskan bahawa penduduk Sabah dan Sarawak boleh transit dari Kuala Lumpur ke negeri masing-masing dan dikuarantin di negeri mereka.

