Laporan polis terhadap nehi dalam RMK8
Pemimpin kaum India dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal memberi peruntukan dalam bidang ekonomi kepada masyarakat India dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).
Pemimpin kaum India dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal memberi peruntukan dalam bidang ekonomi kepada masyarakat India dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).
Beliau yang juga Pengarah Intergrasi Nasional PKR membuat laporan tersebut di Balai Polis Brickfield di ibu negara pada pukul 1.14 tengah hari tadi.
Katanya, laporan polis itu dibuat berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam Konvensyen MIC Johor pada 16 Mei lalu.
"Saya mahu polis menyiasat secara mendalam dan terperinci makna `nehi' bagi kaum India di dalam RMK8 itu," katanya ketika datang ke pejabat malaysiakini hari ini.
Gobalakrishnan berkata, polis juga perlu menyiasat untuk memastikan sama ada masyarakat India mendapat peruntukan atau tidak dalam RMK8 yang lalu.
Katanya, isu tersebut bukan isu MIC sahaja sebaliknya masalah keseluruhan masyarakat India negara ini.
Dalam perkembangan lain, Gobalakrishnan berkata, pemimpin MIC perlu bertindak mendesak Samy Vellu berhenti daripada menjadi presiden parti itu.
Menurutnya, hanya pemimpin yang kreatif dan berwibawa yang boleh memajukan masyarakat India negara ini.
"Keadaan keseluruhan masyarakat India sangat teruk di mana pemilikan aset ialah 1.2 peratus sedangkan sasaran ialah tiga peratus," katanya lagi.
Gobalakrishnan berkata, Samy Vellu perlu membenarkan pertandingan dalam MIC dibuat dengan adil untuk membolehkan masyarakat India memilih pemimpin yang mereka kehendaki.
Sementara itu, peguam P.Uthayakumar yang hadir sama berkata, 80 peratus masyarakat India berada dalam kemiskinan kerana mereka diketepikan dalam pembangunan negara.
Katanya, Samy Vellu dan MIC berulangkali mengulangi dakwaan mereka boleh menyelesaikan masalah masyarakat India tetapi akhirnya tidak ada apa yang diperolehi.

