Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga M'sia pulang dari S'pura tak perlu kuarantin, tapi dengan syarat
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 2:01 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Kerajaan memutuskan untuk mengenepikan peraturan kuarantin 14 hari kepada warga Malaysia yang bekerja di Singapura, yang merancang untuk pulang ke negara.

Bagaimanapun, untuk diberi pengecualian itu, mereka harus terlebih dahulu menjalani 'swab test' di Singapura untuk membuktikan mereka tidak dijangkiti wabak Covid-19.

"Susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri pada 3 April, dimaklumkan para pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan ingin kembali ke Malaysia dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) diwajibkan untuk melakukan swab test di Singapura dan memgemukakan surat/sijil bebas penyakit Covid-19 di pintu masuk sebelum dibenarkan masuk.

"Mereka ini tidak perlu dikuarantin jika disahkan negatif," kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam sepucuk surat bertarikh 3 April yang ditujukan kepada Jabatan Imigresen Johor, yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Khairul mengesahkan ketulenan surat itu.

Di bawah PKP diperketatkan, warga Malaysia yang pulang dari luar negara akan dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani pengasingan selama dua minggu.

Peraturan itu berkuatkuasa semalam tetapi ia diringankan untuk warga Malaysia yang kembali dari Singapura.

PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pada mulanya ia berakhir pada 31 Mac tetapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melanjutkannya sehingga 14 April ini.

Sepanjang PKP, perniagaan dan perkhidmatan kategori tidak penting mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah atas urusan penting, antaranya untuk membeli barang makanan.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 3,333 kes Covid-19 dengan 53 kematian. 827 orang pesakit setakat ini telah pulih semula.

Di seluruh dunia, hampir 1.1 juta kes positif telah direkodkan. Sejumlah 59,193 telah meninggal dunia, makanala 228,938 orang lagi berjaya pulih.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS