Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 lagi korban, 150 kes baru Covid-19 di Malaysia
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 5:05 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Malaysia mencatatkan empat lagi korban akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu ialah 57.

Setakat tengah hari tadi, sebanyak 150 kes baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,483.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya hari ini berkata sebanyak 80 daripada 150 kes baru itu mempunyai kaitan dengan kluster tabligh Sri Petaling.

Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 88 kes pesakit pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih sebanyak 915, iaitu 26.27 peratus daripada keseluruhan kes.

Sebanyak 99 pesakit kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 50 daripadanya memerlukan bantuan pernafasa.

Empat kematian baru itu adalah seperti berikut:

  • Kematian ke-54. (Pesakit 2,149) - Seorang wanita Malaysia berusia 85 tahun dengan sejarah penyakit jantung. Dia dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac, dan meninggal dunia pada 28 Mac.
  • Kematian ke-55 (Pesakit 860) - Seorang wanita Malaysia berusia 66 tahun dengan sejarah tekanan darah tinggi. Dia dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac. Dia meninggal pada 4 petang semalam.
  • Kematian ke-56 (Pesakit 2,850) - Seorang lelaki Malaysia berusia 56 tahun dengan sejarah penyakit jantung. Beliau adalah kontak rapat Pesakit 1,031. Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac lalu. Dia meninggal pada pukul 4.16 petang semalam.
  • Kematian ke-57 (Pesakit 1,575) - Seorang lelaki Malaysia berusia 61 tahun dengan sejarah diabetes. Dia dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 23 Mac lalu. Dia meninggal dunia pada jam 10.25 malam semalam.

Noor Hisham dalam sidang medianya hari ini juga berkata kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Jumlah kes positif yang terlibat dengan kluster itu ialah 1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan, iaitu 44.36 peratus.

"Kluster ini merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz.

"KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini," katanya.

Orang awam diseru agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk disaring sekiranya menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

 


Lihat Komen
ADS