Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis menahan enam lelaki yang menjadikan kandang lembu yang tersorok di Permatang Sintok di Pulau Pinang sebagai lokasi memproses dan membungkus air ketum bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mereka berusia dalam lingkungan 40 ke 50-an ditahan ketika polis mengadakan rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan pada pukul 6.30 petang.

Beliau berkata pada mulanya sekumpulan lelaki yang ditemukan polis mengingkari PKP itu ditegur kerana gagal memberi sebab yang munasabah mengapa mereka berada di kawasan tu.

“Pemeriksaan polis ke atas kandang lembu tempat mereka berkumpul itu menemukan sebuah tong ais yang mengandungi 48 bungkusan kecil dan empat botol minuman berisi air ketum dan kami menahan mereka untuk tindakan selanjutnya. Air ketum itu dirampas untuk siasatan," katanya.

Katanya siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan semua mereka ditahan untuk siasatan menurut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1950 serta Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS