Most Read
Most Commented
Read more like this

Belanjawan Negara 2002 yang di umumkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini lebih banyak memberi faedah dan perlindungan kepada kakitangan awam, kata presiden Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Menurut Prof Datuk Hamdan Adnan kewangan kakitangan kerajaan akan lebih stabil berbanding mereka yang bekerja di sektor swasta.

"Dengan kenaikan gaji hingga 10 peratus dan ganjaran bonus setengah bulan untuk semua kakitangan kerajaan, situasi kewangan mereka lebih terjamin dalam keadaan ekonomi semasa yang kita tahu agak lembap kini," katanya.

Mahathir yang juga selaku menteri kewangan hari ini mengumumkan kakitangan kerajaan akan menerima bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000 tahun ini. Menurutnya, setengah daripada bonus itu akan diterima pada Oktober ini manakala selebihnya pada November nanti.

"Saya berharap bonus itu dapat membantu pembelanjaan untuk persediaan perayaan yang akan datang serta perbelanjaan untuk sesi persekolahan yang akan dibuka tahun depan," kata Mahathir.

Menurut Mahathir gaji kakitangan awam akan dinaikkan sehingga 10 peratus tahun depan. Kenaikan gaji kakitangan awam yang terakhir dibuat dua tahun lalu.

Selain itu, menurut Hamdan kenaikan 10 sen pada harga minyak petrol yang akan dikuatkuasakan serta merta mulai esok tidak akan begitu membebankan pengguna.

Kenaikan petrol berpatutan

"Walaupun berlaku kenaikan harga, minyak petrol di negara ini masih berada pada harga yang termurah berbanding harga petrol di negara jiran," katanya.

Menurutnya jika dilihat secara positif, kenaikan harga minyak petrol itu dapat membantu mengurangkan kegiatan penyeludupan minyak petrol ke negara jiran.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kenaikan harga minyak petrol mungkin akan memberikan kesan "kurang baik" kepada tambang kenderaan awam.

"Kenaikan harga petrol akan mendorong peningkatan harga tambang kenderaan awam, ini akan membebankan pengguna terutama jika tambang bas sekolah dinaikkan," katanya.

"Tetapi ia (kenaikan harga tambang) dapat diseimbangkan melalui penurunan cukai pendapatan, kenaikan gaji (kakitangan awam) dan ganjaran bonus," tambahnya.

Kerajaan mengumumkan cukai pendapatan perseorangan tahun depan akan diturunkan satu peratus iaitu daripada 29 peratus kepada 28 peratus.

Pada keseluruhannya, Hamdan menyifatkan belanjawan yang diumumkan hari ini sebagai "belanjawan yang seimbang dan seperti yang dijangkakan".


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS