Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penting beri maklumat jujur, tegas Noor Hisham
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 7:21 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya jujur dalam memberi maklumat sekiranya mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 atau sejarah perjalanan ke luar Negara.

Beliau memberi contoh seorang pesakit yang kembali dari Itali dan menjangkiti sekumpulan yang lain di Sarawak sehingga menyebabkan lima kematian.

"KKM ingin menegaskan bahawa adalah amat penting supaya masyarakat memberi maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, sejarah perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan yang diumumkan oleh KKM sebagai berkait rapat dengan penularan jangkitan COVID-19.

"Sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang telah dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali.

"Setakat ini, daripada kluster tersebut 37 orang telah disahkan positif Covid-19, terdapat lima kes kematian serta satu kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ke-3," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lima daripada kluster tersebut yang telah meninggal dunia merupakan kes ke-1031, 1032, 1006, 2850 dan kes ke-2210.

Noor Hisham berkata sehingga kini sebanyak 180 buah Negara di seluruh dunia terjejas akibat jangkitan Covid-19.

"Justeru, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara diimport Covid-19 ke dalam negara dan mengakibatkan penularan di dalam negara," katanya.

Beliau berkata selaras dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang telah disediakan.

"Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan iaitu saringan demam dan gejala Covid-19.

"Ujian pengesanan Covid-19 akan dijalankan dan mereka akan dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin tersebut," jelasnya.

Tambahnya, sekiranya ada yang menunjukkan gejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang telah dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Mereka yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital bagi dikenalpasti untuk tujuan isolasi, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan.

"Ini adalah untuk mencegah penularan jangkitan Covid19 kepada masyarakat dan seterusnya untuk membendung wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS