Singapura - yang mewartakan dua asrama pekerja asing sebagai kawasan isolasi pada hari Ahad lalu - mengenal pasti sebuah lagi asrama sebagai satu kluster baru Covid-19.

Dari kluster asrama Tampines Dormitory di Tampines Place itu, sehingga kini dilaporkan terdapat tiga kes yang disahkan, kata Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Menurut kementerian itu selain Tampines Dormitory, dua kluster baru dikenal pasti, masing-masing di Cochrane Lodge I di Admiralty Road West, dan sebuah tapak pembinaan di Battery Road.

Menurut kenyataan itu, dua lagi kes dilaporkan dari sektor kesihatan awam; melibatkan seorang doktor di KK Women’s and Children’s Hospital dan seorang juruteknik di Ng Teng Fong General Hospital.

Sementara itu menurut kementerian berkenaan asrama isolasi, S11@Punggol di Seletar North Link ketika ini menempatkan 63 kes, manakala asrama Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East 28 kes yang disahkan.

Sehingga tengah hari semalam, 23 lagi kes jangkitan Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti, manjadikan sehingga kini 320 telah sembuh sepenuhnya.

Daripada 569 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih, manakala 25 lagi dalam keadaan kitikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi.

Sementara itu 414 kes yang pulih secara klinikal tapi masih positif Covid-19, diasingkan dan dijaga di Hospital Concord International, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles dan Fasiliti Isolasi Komuniti di D’Resort NTUC.

Singapura sehingga kini mencatatkan sejumlah 1,309 kes disahkan dengan enam kematian dan 17,345 kontak rapat dikuarantin.

- Bernama