Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nadia, harimau Malaya di zoo AS sakit Covid-19, kata laporan
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 10:08 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Seekor harimau betina, spesis Harimau Malaya bernama Nadia berusia empat tahun di Zoo Bronx, New York diuji positif wabak pernafasan Covid-19, dalam kes pertama jangkitan daripada manusia kepada haiwan, lapor media antarabangsa pada Ahad.

Nadia dan kakaknya Azul, juga dua ekor harimau Amur dan tiga singa Afrika dilihat menunjukkan gejala batuk kering dan semuanya dijangka akan sembuh sepenuhnya, maklum Perkhidmatan Makmal Veterinar Nasional AS di Iowa.

BBC melaporkan kucing besar itu dipercayai dijangkiti wabak itu daripada penjaga zoo.

"Kami menguji kucing itu [Nadia] dengan cukup hati-hati dan akan memastikan apa-apa pengetahuan yang kami dapatkan mengenai Covid-19 akan menyumbang kepada pemahaman dunia yang berterusan mengenai coronavirus novel ini," kata zoo itu dalam satu kenyataan pada hari Ahad.

Zoo itu dipetik BBC berkata pihaknya masih belum mengetahui bagaimana virus itu akan berkembang pada haiwan seperti harimau dan singa kerana pelbagai spesies boleh bertindak balas dengan cara berbeza terhadap jangkitan baru, tetapi semua haiwan akan dipantau dengan rapi.

Bagaimanapun, tiada kucing besar lain di zoo itu menunjukkan tanda-tanda penyakit Covid-19 iaitu empat harimau lain, harimau salji, cheetah, harimau akar, harimau bintang Amur, puma dan kucing Afrika serval.

"Kucing kami dijangkiti oleh seseorang yang menjaga mereka yang tidak membawa gejala dijangkiti virus atau sebelum orang itu mengalami simtomnya," kata zoo tersebut.

Semua harimau yang menunjukkan gejala ditempatkan di kawasan zoo di Tiger Mountain.

Semua empat zoo yang dikendalikan oleh Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar di New York City, termasuk Zoo Bronx, telah ditutup kepada orang ramai sejak 16 Mac. Langkah penutupan itu bertujuan untuk melindungi haiwan dan penjaga mereka.

Zoo itu dalam kenyataannya memaklumkan: "Tiada bukti terdapat sebarang manusia yang dijangkiti Covid-19 daripada haiwan di AS, termasuklah haiwan peliharaan anjing dan kucing."

Reuters pula memetik Ketua Veterinar Zoo Bronx, Paul Calle berkata kes Nadia adalah unik kerana jatuh sakit selepas terdedah kepada pekerja zoo yang tidak menunjukkan gejala Covid-19.

"Ini adalah kali pertama di mana-mana di dunia yang kami tahu bahawa seseorang menjangkiti haiwan dan haiwan itu sakit," kata Calle, petik Reuters.

Walaupun harimau dan singa lain juga menunjukkan gejala, zoo itu memutuskan untuk menguji Nadia kerana dia yang paling sakit dan telah hilang selera makan, kata Calle.

Terdahulu, Nadia menjalani ujian X-ray, ultrasound dan ujian darah untuk mengetahui punca harimau itu jatuh sakit. Pihak perubatan kemudian memutuskan untuk menguji Covid-19 memandangkan peningkatan kes di New York City, pusat wabak di Amerika Syarikat.

Nadia mula menunjukkan tanda-tanda penyakit itu pada 27 Mac lalu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS