Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semasa krisis, satu peluang tertutup ada peluang lain terbuka - Dr M
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Semasa mendepani cabaran ekonomi ekoran wabak Covid-19 yang mungkin menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan rakyat agar meneroka peluang pekerjaan baru.

Katanya, Semasa krisis, akan ada peluang pendapatan yang tertutup, namun pada masa sama ada pula peluang pendapatan baru yang terbuka.

“Dalam satu segi, apabila satu jenis perniagaan merosot, jenis perniagaan lain pula akan mengambil alih.

“[...] Kita kena lihat, disebabkan Covid-19 ini, apakah peluang pekerjaan yang diperlukan dan tercipta, kita kena kejar (peluang) itu,” katanya dalam sembang dalam talian yang disiarkan secara langsung pagi tadi.

Sesi Teh Pagi Bersama Tun M itu membincangkan kesan ekonomi dan sosial serta Wawasan 2030 dengan Covid-19. Ia dikenalikan kumpulan MyPerintis dan disiarkan di laman Facebook mereka.

Kata Mahathir, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa pendapatan yang diterima mereka akan mengalami penurunan ekoran kesan Covid-19 terhadap kegiatan ekonomi, termasuk yang bekerja dalam industri besar.

Malah katanya terdapat golongan yang akan terpaksa berhenti bekerja seperti dalam beberapa industri yang tidak mendapat permintaan dalam tempoh wabak Covid-19, seperti industri penerbangan dan perhotelan.

Namun, kata Mahathir, mereka yang kehilangan kerja boleh mengambil peluang baru daripada bidang yang mengalami peningkatan seperti pengangkutan dan penyediaan makanan, memandangkan tempoh wabak secara tidak langsung menggalakkan aktiviti penghantaran melibatkan makanan dan lain-lain.

Gaya hidup menelan duit

Mahathir juga menegaskan pentingnya sistem penghantaran yang baik dan “sangat diperlukan bagi membantu banyak peniaga dan usahawan meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh wabak ini.

“Sistem penghantaran adalah kuncinya,” katanya yang turut menambah, segala peluang itu akan diperluaskan lagi dengan memanfaatkan pendigitalan perniagaan.

Menurut Moody’s Investors Service (Moody’s), sektor penerbangan penumpang merupakan antara industri paling teruk terjejas susulan impak Covid-19 ekoran sekatan perjalanan serta sensitiviti permintaan dan sentimen pengguna. 

Malah, kapasiti sektor berkenaan dijangka akan berkurangan sebanyak 40 hingga 60 peratus, malah mungkin lebih pada suku kedua 2020 dan mencecah 75 peratus dalam keadaan tertentu berbanding suku kedua pada 2019.

Dalam pada itu, pesan Mahathir, rakyat Malaysia secara umumnya harus bersedia melakukan perubahan gaya hidup bagi menyesuaikan diri dengan landskap baru ekonomi negara dengan pendapatan yang lebih rendah.

Katanya, dengan sektor perniagaan yang terjejas ekoran pandemik tersebut, majikan dan pekerja akan sama-sama menerima tempiasnya, justeru semua pihak perlu bersedia melakukan perubahan gaya hidup bagi menyesuaikan diri dengan penurunan pendapatan.

“Setiap daripada kita akan mendapat pendapatan yang lebih rendah, gaya hidup kita perlu berubah. Kita tak boleh harap hidup dengan gaya hidup sebelum ini yang menelan duit,” katanya yang memetik cara rakyat berbelanja seperti membeli pakaian dan berekreasi.

Tak membantu apa-apa

“Kita kena kurangkan itu semua, dan kurangkan perbelanjaan kita supaya keperluan kita terhadap duit juga dapat dikurangkan. Jika kita bersedia untuk melakukan ini, saya rasa kita boleh atasi (pulih daripada) pandemik ini dengan lebih cepat,” katanya lagi.

Menitip pesan buat generasi muda dalam menghadapi krisis ini, Mahathir berkata, rakyat perlu tenang dan tidak melenting dengan perasaan marah dan menyalahkan orang lain.

Sebaliknya, sikap beremosi seumpama itu tidak akan dapat membantu apa-apa.

Mengambil contoh kecenderungan sesetengah pihak yang menuding jari menyalahkan China sebagai pencetus Covid-19, Mahathir berpendapat adalah lebih baik sekiranya Malaysia belajar daripada negara itu yang menurutnya lebih berjaya menangani wabak berkenaan berbanding negara-negara lain.

Malah, kongsinya, ketika krisis kewangan melanda negara pada 1997 dan 1998, beliau mengambil masa hampir setahun mencuba pelbagai kaedah menangani krisis berkenaan sebelum tampil dengan kawalan terhadap pasaran tukaran mata wang yang menurutnya berjaya menjadi penyelamat.

“Dalam setiap krisis, ada cara untuk kita menanganinya. Perkara paling penting, adalah kekal tenang. Jangan marah-marah, jangan salahkan orang lain.

“Menyalahkan orang lain tak membantu apa-apa,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS