Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar sahkan Hadi tulis surat kepada pemimpin Arab

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini secara tidak langsung mengesahkan surat berbahasa Arab yang tular di media sosial beberapa hari lalu memang ditulis Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun menurut Mohd Amar Abdullah, surat tersebut merupakan warkah peribadi presiden PAS kepada pemimpin gerakan Islam dunia.

Bercakap kepada Malaysiakini di Kota Bharu hari ini, Mohd Amar berkata pemimpin lain dalam PAS tidak melihat surat tersebut pada awalnya.

"Surat itu ditujukan khas oleh presiden kepada pimpinan-pimpinan gerakan Islam.

"Jadi kami sendiri pun tak tengok surat itu. Memang tok guru (Abdul Hadi) hantar secara peribadi, dan surat itu juga lebih menerangkan isu dan perkembangan yang berlaku dalam tanah air," katanya.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS dan timbalan menteri besar Kelantan sebelum itu ditanya berhubung surat berbahasa Arab yang didakwa dihantar oleh anggota Parlimen Marang itu kepada pemimpin Islam seluruh dunia.

Terdahulu, surat bertarikh 22 Mac itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April lalu dan mengundang pelbagai kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Mahu sampaikan maklumat

Pada masa sama surat itu mempertahankan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun ia bukan dibuat secara demokrasi.

Dalam surat itu antara lain Abdul Hadi menceritakan, sejurus selepas pilihan raya umum lalu, PAS mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kedudukan orang Islam dalam negara ini.

"Maka, PAS telah mengambil langkah politik bekerjasama (taawun) secara jalan damai.

"PAS telah memilih hubungan dengan Mahathir memandangkan sikap nasionalis dan semangatnya mempertahankan Islam.

"PAS menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar kerana tidak yakin dengan karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya.

"Bersama Anwar adalah Amanah yang bersifat Islam liberal, dengan bersandarkan pada sokongan dan pendirian kedutaan-kedutaan Barat yang menyokongnya dari segi strategi, media dan kewangan," menurut surat itu.

Abdul Hadi juga mengaitkan kerajaan PH dengan gerakan Zionis, Freemason dan liberalisme. Ia kemudian menyebabkan pengkritik memperingatkan Abdul Hadi tentang pengakuan Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang mendakwa berkawan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam rakaman audio kontroversi sebelum ini.

Susulan itu beberapa pimpinan PH tampil mempersoalkan kesahihan surat berkenaan selepas tiada mana-mana pimpinan PAS mengulas mengenainya.

Sementara itu Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, setakat pengetahuannya, tiada perkara kontroversi yang terkandung dalam surat tersebut sebaliknya ia dipolitikkan pihak tertentu.

Kata beliau, Abdul Hadi hanya menceritakan apa yang berlaku dalam negara supaya maklumat yang jelas disampaikan kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam dunia.

"Tidak berbangkit soal tohmahan, dusta dan sebagainya, dan saya difahamkan dah ramai orang menjawab bagi pihak presiden PAS bagi menjelaskan tentang perkara ini. Jawapan-jawapan itu lebih daripada cukup.

"Ya beliau menjelaskan perkembangan yang berlaku dalam negara, itu hubungan biasa secara peribadi dan sentiasa berlaku," jelasnya.

Lihat Komen
ADS