Kerajaan sedang meneliti beberapa kawasan yang kini berada dalam zon merah untuk dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang meneliti dengan lebih terperinci kawasan yang terlibat selepas laporan kenaikan kes Covid-19 di beberapa lokasi termasuk Lembah Pantai.

"KKM masih membuat penilaian secara terperinci sebab yang pentingnya adalah kali ini kita lebih terfokus.

"Kita tidak mau ambil radius terlalu luas," katanya.

Menurut data Kementerian Kesihatan, Lembah Pantai mendahului senarai 18 zon merah di seluruh negara dengan 376 kes positif yang disahkan setakat tengah hari semalam.

Jumlah kes Covid-19 Lembah Pantai juga tertinggi di Malaysia pada 3 April iaitu 322 kes, dan pada 4 April dengan 367 kes.

Pada masa ini terdapat tiga lokasi di bawah PKPD, iaitu dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, tujuh buah kampung di Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pihaknya juga akan meneliti prosedur operasi piawai (SOP) baru dalam mengenakan PKPD kepada sesuatu kawasan.

"Dulu mungkin satu kampung sahaja terdapat kes positif tapi kawasan yang ditutup mungkin terlalu luas sampai 5 hingga 6km radius.

"Jadi kita akan lihat perkara ini. Di Lembah Pantai kepadatan tinggi jadi kita akan lihat tempat mana yang perlu diadakan 'lockdown' tersebut.

"Sebab kalau kita adakan lockdown maknanya lockdown sepenuhnya. Tidak boleh keluar rumah. Jadi sebab itu KKM akan keluarkan SOP baru mengenai kawasan yang akan di lockdown ini," katanya.

Sehingga tengah hari semalam, kesemua empat daerah kesihatan di Kuala Lumpur telah diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19, dengan Cheras sebagai tambahan terbaru selepas mencatatkan 44 kes.

Sesebuah daerah dikategorikan sebagai kawasan zon merah apabila mencapai lebih daripada 40 kes Covid-19.