Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan sampai duit halal dapat ke sindiket judi, kata IGP

Berhati-hati dengan sindiket judi dalam talian yang mengambil kesempatan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) sempena ancaman wabak Covid-19 ini, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Katanya, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kegiatan perjudian dalam talian semakin meningkat akhir-akhir ini dan mereka menyasarkan orang ramai yang bosan berada di rumah kerana mematuhi PKP.

“Cukuplah saya kata (judi dalam talian) meningkat.

"Saya ingatkan orang ramai apabila melihat (ahli keluarga) tekun mengadap komputer riba, nasihatilah... dalam judi tiada siapa yang menang atau kalah.

“Saya bimbang duit halal yang diberikan kerajaan habis jatuh ke tangan sindiket judi atas talian. Hentikan dan kawallah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Selain sindiket judi atas talian, Abdul Hamid berkata, kegiatan penyeludupan rokok turut dilihat meningkat semasa PKP, malah sindiket terbabit menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Saya percaya aktiviti ini berleluasa, saya sudah arahkan pegawai di bawah untuk jalankan pemeriksaan secara rambang. Hal ini terdapat kenderaan yang disyaki membawa ribuan rokok dapat ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid turut menggesa ibu-bapa supaya mengawasi anak mereka.

Tambahnya, ini kerana hasil tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang PKP ini mendapati kanak-kanak di bawah umur 18 tahun antara yang paling ramai ditangkap.

“Saya harap sangat ibu-bapa perhatikan anak-anak mereka.

“Hasil beritu tangkapan rakyat (sepanjang PKP) ini dilihat empat peratus kanak-kanak bawah umur 18 tahun,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS