Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usah curi kelengkapan untuk barisan depan, kata Noor Hisham

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang ramai tidak menafikan hak petugas mereka - terutama yang berkhidmat di barisan depan - untuk mendapat peralatan perlindungan diri (PPE) apabila kemudahan tersebut dicuri dari hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peralatan seperti penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan pensanitasi tangan yang dibekalkan di hospital adalah untuk digunakan kakitangan kesihatan.

Katanya mereka memerlukan kemudahan itu kerana berdepan risiko jangkitan Covid-19.

"Kalau ada yang mengambilnya untuk kegunaan sendiri, saya rasa dia kena fikir bukan dia seorang yang kena pakai.

"Fikirkan orang ramai juga. Jangan ambil sanitizer KKM, sarung tangan atau penutup hidung dan mulut.

"Bahan itu penting untuk kegunaan barisan hadapan, keutamaan adalah untuk barisan hadapan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Noor Hisham diminta mengulas mengenai beberapa tularan di media sosial menunjukkan ada pihak cuba menjual kemudahan PPE melalui dalam talian.

PPE tersebut dipercayai diambil dari hospital kerajaan.

Negara mengalami kekurangan penutup mulut dan hidung serta cecair nyah kuman sejak dua bulan lalu akibat pembelian panik akibat Covid-19, menyebabkan barang-barang itu tidak mencukupi di pasaran.

Beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab juga cuba memanfaatkan keadaan dengan menaikkan harga barangan berkenaan, sementara kes-kes kecurian penutup mulut dan hidung dilaporkan berlaku di kemudahan KKM.

Noor Hisham sebelum ini mengatakan bahawa memastikan bekalan PPE yang mencukupi untuk barisan depan adalah keutamaan dan orang ramai yang tidak mempunyai gejala Covid-19 tidak perlu memaka penutup mulut dan hidung.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan eksperimen KKM untuk menggunakan plasma darah bekas pesakit Covid-19 yang telah pulih, Noor Hisham berkata setakat ini pihaknya belum mendapat jumlah yang cukup untuk menyediakan antibodi kepada pesakit.

"Tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah kita mengulangi proses itu, seperti jika kita memberi plasma (kepada pesakit dalam rawatan) hari ini, kami akan memberikannya semula dalam masa dua minggu," katanya.

Sementara itu, mengenai perkara lain, Noor Hisham berkata sekumpulan pelarian Rohingya yang mendarat di pantai Langkawi semalam telah diasingkan.

Beliau berkata pelarian itu akan diuji untuk Covid-19 bagi memastikan status kesihatan mereka.

Sekumpulan 200 pelarian Rohingya dilapor tiba di Langkawi menaiki bot sebelum mereka ditangkap oleh polis pada pagi Ahad.


Dapatkan perkembangan terkini wabak Covid-19 di Malaysia menerusi penjejak di sini.

Lihat Komen
ADS