Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Covid-19 ragut nyawa lima ahli keluarga - dengar pesan Aida
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 8:30 PM
Dikemaskini: 4:05 PM

“Bertanggungjawablah. Jujur dengan sejarah perjalanan anda, patuhi arahan untuk duduk diam di rumah”.

Itu pesanan yang ingin disampaikan Aida Nabila Mohamad Ghazali, 25, buat orang awam di luar sana. Setakat ini, Aida sudah kehilangan lima ahli keluarga akibat Covid-19.

Pelajar sarjana di Universiti Putra Malaysia itu baru-baru ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat ahli keluarganya - nenek, bapa saudara dan ibu saudara serta dua saudara jauh di Kuching, Sarawak yang meninggal dunia akibat wabak itu.

Pihak berkuasa kesihatan telah menjejaki sumber jangkitan daripada ibu saudara rakan sekerjanya, yang tinggal di rumah yang sama dengan arwah nenek Aida bersama dengan tiga anaknya (iaitu satu lagi ibu saudara Aida dan dua bapa saudaranya).

Rakan sekerja yang pulang dari Itali itu, dirujuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pesakit 1,580.

Pada masa itu, Kerajaan Persekutuan belum lagi menguatkuasakan arahan untuk mengkuarantin diri sendiri (self-quarantine), tetapi kerajaan negeri Sarawak sejak 5 Mac, telah mengarahkan penduduk Sarawak untuk mengkuarantin diri sendiri di rumah selama 14 hari sekiranya mereka baru pulang dari Itali.

Bagaimanapun, kata Aida, rakan sekerja kepada ibu saudaranya itu masih datang ke tempat kerja.

Hanya pada pertengahan Mac, keluarga Aida mula perasan ada sesuatu yang tidak kena.

Ia bermula apabila nenek Aida (sebelah ayah) yang berusia 79 tahun dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 16 Mac kerana pneumonia.

Neneknya kemudian minta untuk keluar daripada hospital untuk tinggal di rumah dan menghabiskan sisa usia bersama keluarganya. Pada masa itu, dia belum didiagnosis dengan Covid-19.

“Ramai persoalkan kenapa kami bawa nenek kami balik ke rumah. Tapi sebenarnya, dia yang beria-ia mahu (balik ke rumah), seolah-olah dia tahu masanya (kematian) sudah hampir tiba.

“Dia cuma sempat menghabiskan masa beberapa jam di rumah, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2 pagi,” kongsi Aida di Twitter.

Ayah dan emak saudara turut sakit

Malaysiakini telah menghubungi Aida untuk mendengar sisi cerita daripada pihaknya.

Semalam, ketika Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah menekankan peri pentingnya untuk bersikap jujur dalam membendung Covid-19, beliau merujuk kluster jangkitan membabitkan keluarga Aida sebagai contoh.

Kata Aida, arwah neneknya dikebumikan pada 18 Mac, hari sama dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, pada hari sama, ibu saudara dan bapa saudara Aida yang tinggal bersama neneknya turut jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

Mereka berdua disahkan positif Covid-19 pada 20 Mac. Pada hari sama juga, ujian Covid-19 arwah neneknya (Pesakit 1,031) turut mendapat keputusan positif.

Ini menyebabkan keseluruhan keluarga dan sanak-saudara Aida dibawa ke hospital untuk saringan kesihatan dan melakukan ujian swab.

“Secara keseluruhan, seramai 37 orang termasuk saya disahkan positif Covid-19,” kata Aida, selain menambah jumlah itu kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga dan saudaranya.

Empat orang yang bukan ahli keluarganya merupakan rakan sekerja kepada bapa Aida dan dua anaknya yang hadir ke pengkebumian arwah neneknya, serta seorang lagi yang dirujuk sebagai Pesakit 1,580.

Bapa saudara Aida (Pesakit 1,006) dan ibu saudaranya (Pesakit 1,032) masing-masing meninggal dunia pada 23 Mac dan 21 Mac. Kemudian, dua saudara jauhnya yang lain (Pesakit 2,210 dan Pesakit 2,850) turut meninggal dunia.

Setakat ini, 10 orang ahli keluarganya masih diwadkan di Hospital Besar Sarawak, termasuk bapa Aida, Mohamad Ghazali Abd Rahman, yang kini bertarung nyawa dengan sokongan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, 20 ahli keluarga lain pula, kata Aida, kini dikuarantin di pusat kuarantin di Kuching.

“Doa untuk pulih”

Tambah Aida, dia sendiri dirawat selama dua minggu di Hospital Besar Sarawak sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin itu bagi memberi ruang kepada pesakit-pesakit lain yang lebih kritikal.

Katanya, dia tidak berdendam dengan Pesakit 1,580, tetapi pesannya:

“Saya mahu semua orang bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam memberikan maklumat. Saya mahu semua orang mematuhi apa saja yang diarahkan oleh kerajaan.

“Mereka yang ada sejarah perjalanan, bertanggungjawablah untuk kuarantin diri sendiri. Yang lain itu duduk diam-diam di rumah.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang merisikokan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan nyawa kami,” katanya.

Reda terhadap takdir yang menimpa keluarganya, Aida melihat kehilangan itu satu ujian Tuhan, berkata kini dia mendoakan yang terbaik supaya ahli keluarganya yang masih hidup lekas sembuh.

“Saya tak ada nak cakap apa-apa kepada dia (kes 1,580) tetapi saya merayu semua orang, doakanlah agar kami pulih sepenuhnya.

“Terutama ayah saya, saya cuma mahu keluarga saya sihat semula. Berdoalah juga untuk pesakit Covid-19 yang lain. Saya betul-betul harap semua ini akan berakhir dengan baik.

“Saya tak sabar nak bersama keluarga saya semula,” tambahnya lagi. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS